Thursday, February 6, 2014

TAMAN MAKNAWI SHAMSUDIN OTHMAN

Taman Maknawi merupakan kumpulan puisi ketiga yang diterbitkan. Sebelum ini Shamsudin telah menerbitkan Taman Percakapan ( 2006 ) Taman Nurani ( 2010 ) dan yang terbaru, Taman Maknawi ( 2013 ) Cuma bedanya, Taman Maknawi diterbitkan hasil daripada sebuah sayembara. Taman Maknawi dinobatkan sebagai pemenang ketiga di belakang Negeri Kunang-Kunang ( Ridzuan Harun ) dan Laut Tujuh Gelombang Buih ( Rahimidin Zahari )

Taman Maknawi meneruskan kronologi ' Taman '. Ini mengingatkan saya kepada kronologi ' Esok ' oleh Jins Shamsudin, yaitu Tiada Hari Esok, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa. Apakah ' Esok ' dan ' Taman ' ini semacam satu trademark dalam takwim pengkaryaan dua tokoh bernama Shamsudin ini? Kita tunggu saja perkembangan selanjutan nanti.

Taman Maknawi merupakan kumpulan puisi bernafaskan Islam. Ada yang menamakan sebagai puisi religius, puisi sufi, puisi madrasah dan sebagainya untuk menunjukkan puisi itu bernafaskan keislaman. Melihat keseluruhan puisi yang terkandung dalam Taman Maknawi ini, Shamsudin menjelaskan, sesebuah puisi boleh saja ditanggapi sebagai segugus kata-kata maknawi yang di dalamnya terangkum perasaan yang menggugah dan membijaksanaan. Atau puisi harus dilihat sebagai satu kesatuan makna dan tanggungjawab, antara jati diri dan marga bahasa yang berilmu serta antara kebenaran dan naratif alami. Puisi tidak boleh dihukum sebagai jelmaan igauan atau khayalan, sebaliknya puisi adalah juzuk nurani yang di dalamnya mengalir rasa pengabdian yang perlu diyakini mempunyai hubungan vartikal dan horizontal. Justeru, puisi adalah suara batiniah yang sarat dengan taqwa, rasa cinta, rasa rindu, rasa syukur, rasa taubat dan rasa simpati seseorang insan yang tidak boleh dipisahkan daripada pengertian keseluruhan dalam kesewaktuan ( 2013: xi )

Tentang puisi, Tantawi Jauhari mengatakan, ' seni sastera adalah cahaya daripada Allah, ada pun sajak, keindahan, hikmah dan segala anugerah yang serupa itu, kalau digunakan untuk kepentingan umum adalah baik, dan kalau digunakan untuk kepentingan khas adalah jahat ' ( Hasymi, 1980 ) Akan lahir dalam Islam satu generasi yang belum pernah kami memimpikannya sebagai umat terbaik yang pernah Allah tampilkan untuk manusia. Maksud kataku ini ialah bahwa Allah mengecualikan para sasterawan Muslim yang salih, di mana Allah berfirman, ' kecuali orang-orang beriman dan beramal saleh, sentiasa mengenang Allah dan memang setelah ditindas, mereka itu menjadikan sajak sebagai ubat menghilang penyakit. Ertinya bahawa mereka tidak menjadikan profesi sastera sebagai ladang usaha ' ( ibid )

Menurut Mohd Shahrizal Nasir, sastera Islam bukan sastera yang sia-sia dan tidak mungkin ia bersifat sedemikian. Hal ini berbalik kepada tujuan penciptaan manusia ke dunia yang bukan untuk tujuan sia-sia, kesemuanya mempunyai tujuan dan bermatlamat. Namun keadaan ini tidak menolak wujudnya keseronokan yang bersifat sementara dalam kehidupan manusia yang sebenarnya bertujuan menguji mereka serta memberi peluang yang secukupnya untuk melakukan amalan. Segalanya kembali kepada akidah manusia itu sendiri yang memilih untuk memperbanyakkan amalan kebaikan ataupun keburukan.

Ia juga bukan satu sistem atau pendekatan yang sempit dan jumud, yang hanya menceritakan kehidupan dan realitinya, bukan juga merupakan ucapan nasihat yang dipenuhi ayat-ayat al-Qur’an dan hadith serta hukum-hukum agama semata-mata, tetapi ia merupakan satu bentuk atau gambaran yang indah dan sentiasa berkembang. Sastera Islam merupakan sastera rasa hati yang hidup dan sihat sejahtera, sastera yang memberi gambaran yang tepat, juga imaginasi yang berpaksikan kebenaran. Seterusnya, sastera Islam adalah sastera yang jelas dan bukan bermain-main dengan kekaburan yang menyesatkan ataupun kegelapan yang membunuh. Dan tidak mungkin sastera Islam mampu untuk dihasilkan kecuali oleh mereka yang memiliki keyakinan dan berlapang dada serta didasari oleh landasan yang ditetapkan Allah. Ini kerana hanya dengan asas akidah yang sebenar, sastera yang bercirikan kebenaran mampu dihasilkan. Sudah tentu dengan gambaran tersebut, sastera Islam bukan satu omongan bagi menyedapkan hati seseorang.

Dalam Taman Maknawi, Shamsudin menuliskannya seperti ini;

masuklah ke tamanku
akan kau temui
ribuan bening
yang ranum mengharum
daripada fitrah
kun faya kun Rabb
hijau merimbun
dalam kalbu syafaat
kekasihku Muhammad

Saya teringat tentang kumpulan puisi Ali Haji Ahmad, Jalan ke Taman. Jalan ke Taman antara kumpulan puisi Islamik yang bermutu. Malah, Ali Haji Ahmad diakui sebagai penyair sufi terbaik selain Kemala, Bukhari Lubis ( Rizi SS ), Shafie Abu Bakar, atau Nahmar Jamil. Melalui puisi di atas, Shamsudin mengajak pembacanya, masuk ke taman yang rimbun dengan haruman fitrah dan syafaat kekasihnya, Muhammad Rasullullah. Cuba bandingkan dengan Zikrullah, puisi dari Ali Haji Ahmad.

peleburan tanah
di ladang rasa
semaian benih
di bendang hati
siraman air
di batas taqwa
penampungan harap
di bijana kasih
pengulangan jenguk
benih berjambang
pemindahan tanam
di sepanjang terekat
menghitung ganjaran
di hujung jalan
mengenal maknawi
sesuci nama-Mu
allahurabbi

( Jalan ke Taman, 1983, hal. 29 )

Cara Ali Haji Ahmad menyusun rentak polanya seperti sebuah mantera. Rentaknya tingkah meningkah, dengan pilihan kata yang sufistik seperti tanah, rasa, bening, hati, takwa, bijana, kasih, terekat, maknawi dan Allahurabbi. Ali ditanggapi oleh beberapa kritikus sebagai penyair Islamik yang terbaik. Lihat pula Shamsudin dalam Wujud ( hal. 3 )

aku hamba dalam kudrat-Mu
wujud dari roh
gersang dan hapak tanah
keruh dan likat air
angin yang mengering
dan api yang membahang
menyatu menjadi jasad

Penyair Islamik selalu melihat ke dalam diri. Ali Shariati ( 1984: 84 ) menghuraikan hubungan tauhid dengan alam sebagai satu manifestasi tanda kebesaran Allah;

In the world-view of the tauhid, nature, the manifest world, is composed of series of signs and norms. The use of the word ' sign ' to designate a natural phenominon bears profound meaning. The oceans and trees, night and day, earth and the sun, earthquake and death, illness, vicissitude, law, and even man himself - all these are ' signs ' and ' God ' do not represent two separate and discordant hypostases, essences, realms, or poles.

Shamsudin mahu menyorot ke dalam dirinya melalui sajak Tahmid ( hal. 24 )

setiap kali aku
membaca diriku
ada cahaya yang berkaca
dan membias di muka
kucari makna sham
dalam nur matahari tuhanku
kucari makna din
dalam nur bulan muhammadku

seperti aku yang hilang
dalam bayang-bayang
akuku merintih
di atma jiwa

shamsudin
di manakah akuku
saat tahmid mengutus munajat
dalam jasad dan roh
berkampung di kebun maknawi?

No comments:

Post a Comment