Sunday, June 19, 2011

LATIFF MOHIDIN - SAJAK-SAJAK DINIHARI

 
Latiff Mohidin mencipta dalam satu period pembangunan dan modenisasi yang telah bebas daripada tekanan pentadbiran kolonial dan justru itu memberikan lebih banyak perhatian terhadap masalah pertumbuhan peribadi daripada masalah sosiopolitik. Latiff adalah penulis yang tumbuh dengan pendidikan moden yang luas dan oleh kerana beliau adalah pelukis-penyair yang paling banyak mengembara di Eropa berkesempatan pula berkenalan dengan tradisi dan sastera dunia yang beragam ( Wajah, Biografi Penulis, 1981, hal. 376 )

Latiff Mohidin dilahirkan pada 20 Ogos 1938 di Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia. Pendidikannya mula menyerlah apabila beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di King Goerge V Seremban hingga lulus School Certificate ( 1959 ) Latiff berpeluang ke Academy of Fine Arts, Berlin ( 1960 ) Kemudian mendapat grant untuk kursus di Atelier La Courrriere, Paris dan biasiswa Rockefeller di Pratt Graphic Centre, News York, Amerika Serikat. Seterusnya beliau berkeliling dunia dalam kembara seninya sambil melukis dan menulis puisi. Antara puisi awalnya yang menarik perhatian umum ialah sungai mekong.

1
sungai mekong
kupilih namamu
kerana aku begitu sepi
kan kubenamkan dadaku
ke dasarmu
kaki kananku ke bulan
kaki kiriku ke matari
kan kuhanyutkan hatiku
ke kalimu
namamu ke muara
suaraku ke gunung

2
sungai mekong
nafasmu begitu tenang
lenggangmu begitu lapang
di tebing mu
ada ibu bersuara sayu
mencari suara puteranya yang hilang
waktu ia merebahkan wajahnya
ke wajahmu
kau masih bisa tersenyum senang

3
sungai mekong
akhirilah tari siang riakmu
kulihat di dasarmu
kuntum-kuntum, berdarah
batu-batu luka
malam ini
ribut dari utara akan tiba
tebingmu akan pecah
airmu akan merah
dan arusmu akan lebih keras
dari niagara

( vientiane 1 februari 1966 )

Melalui puisi ini Latiff telah tersenarai sebagai penyair surealisme paling berpengaruh waktu itu. Kehadirannya sangat menggugah ramai penyair lain. Sungai Mekong sangat peribadi namun mempunyai logis antarabangsa. Apabila beliau menulis sebuah bas berwarna biru, ketakjupan audion bertambah semarak.

sebuah bas berwarna biru
tanpa nombor dan pemandu
merangkak
antara kenderaan-kenderaan
penuh darah

kalau ia berhenti
di depanku
kan kubeli
sebuah tiket berwarna biru
tanpa humor dan lagu

saudara
waktunya telah tiba
untuk aku melangkah kaki
tiket yang kubeli
terasa panas di tangan

bas berwarna biru
telah membuka pintu
waktunya telah tiba
untuk aku
mengenal derita

( kuala lumpur 22 mei 1965 )

Umur Junus mengatakan Latiff dipengaruhi Chairil Anwar dalam pengekonomisan bahasa. Sebelum Latiff terdapat percubaan beberapa penyair yang cuba mengekonomikan bahasa tetapi ternyata artifisal. Latiff selain mengandaikan kalimat dalam puisinya tetapi juga pemilihan bahasa dan visual. Kalau dilihat sajak sebuah bas berwarna biru, luarannya begitu bebas namun di dalamnya penuh dengan interpritasi. Bas jangan dilihat sebagai bas semata kerana keajaipan-keajaipan yang diperlihatnya. Barangkali sebelum ini belum ditemukan sajak sedemikian interpritasinya. Dan memangnya kontradik antara isi dan luarannya. Sehingga ia dapat ditanggapi dengan pelbagai kemungkinan.

Kumpulan puisi Sajak-Sajak Dinihari ( Makruf Publisher, Selangor, 1996, 99 hal. ) adalah kumpulan ke 6 selepas Sungai Mekong ( 1972, 75 hal.  ) Wayang Pak Dalang ( 1977, 57 hal. ) Serpihan Dari Pedalaman ( 1979, 42 hal. ) Pesisir Waktu ( 1980, 62 hal. ) Rawa-Rawa ( 1992, 42 hal. ) Sajak-Sajak Dinihari memuatkan puisi-puisi yang lebih sufisisme. Dimulai dengan Dua Kalimat.
( hal. 2 )

Terapung
di gaung malam

Dua kalimat
berpelukan

Sepasang degup
melambung ke angkasa

Adam tak berkerlip
menyaksikan

( 27 nov. 1988 )

Sangat ekonomis. Dua kalimat. Apa maksudnya? Apakah kalimat yang telah dipersonifikasikan itu sepasang kekasih? Kerana pada hujungnya, Adam tak berkelip/ menyaksikan. Atau sepasang kalimat itu Allah-Muhamad? Dan Adam tak berkelip/ menyaksikan.

Dalam sajak Aku Lapar ( hal. 7 ) Latiff menulis;

Aku lapar
kauberi aku pasir
aku haus
kauberi aku angin

Pasirlah makananku
anginlah minumanku

Aku pun
tidak lagi meminta
kerana aku tahu
segala yang kauberikan
adalah permulaan rahsia

Sebentar lagi
aku akan semesta
dengan limpahan sunyimu
aku akan berpesta
dengan curahan sinarmu

( 1979 )

Aku Lapar adalah manifestasi derita kekosongan jiwa. Barangkali penyair ketika itu merasakan betapa kosongnya jiwa hingga merasa sesuatu yang perlu dimaknai terhadap hariannya. Ini dapat ditandai dengan kalimat beliau,

aku lapar
kauberikan aku pasir
aku haus
kauberikan aku angin

Dalam Mata Gerhana, Latiff menulis,

1
mata gerhana
lingkaran api yang hitam

mengingatlkan kami
pada kilatan mata kapak
di dada pohonan
retak pundak bukit-bukit
rusuk sungai yang berdarah

Pada ribuan mata kelawar
memancar dari runtuhan gua-gua
di pekat malam

Pada taufan abadi
mata angin dan mata air
yang meratap di bawah kota raya
di sepanjang khatulistiwa
pada mata benda yang berlumuran
di tapak tangan

2
Mata gerhana
lingkaran api yang hitam
kau belum sempat menyaksikan
akar yang merah membara
begitu lama terpendam liar
di liang mata manusia

( 11 nov 1988 )

Mata gerhana melambangkan pandangan nista jagat dunia. Betapa bobroknya dunia dengan segala macam sengketa yang tidak renti-renti melanda. Penyair merasakan bahawa inilah dunianya yang dihuni. Lantas memasrahkan apa pun jatah kejadian kepada kebijaksanaan manusia menguruskannya.

Inilah suara Latiff Mohidin. Walau pun beliau tidak terikat lagi dengan sosiopolitik, tetapi keadaan sekeliling adalah jatah daripada keadaan tersebut. Sajak-Sajak Dinihari menyatakan kekeliruan itu. Ketika dinihari disignifikenkan sebagai malam penuh istirahat namun di dalamnya penuh dengan selirat hitam oleh manusia pada jagatnya. Dan penyair menyela-nyela melalui puisinya.

* Sebagai nota tambahan

Sungai Mekong ( 1974, 75 hal. ) termasuk terjemahan bahasa Cina diterbitkan oleh Tan Swee Hian dan May Sook Ching. Dalam tahun 1981, diterbitkan  semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur dengan terjemahan Inggerisnya oleh Mansor Ahmad Saman.

Sungai Mekong mengandungi 38 buah puisi yang dihasilkan sepanjang 1960 hingga 1970 mengandungi puisi sungai mekong ( vientiene. 1 feb 1966 ) sebuah bas berwarna biru ( kuala lumpur, 23 mei 1965 ) tidak kita sedari ( singapura, mac 1968 ) kebakaran ( berlin, 6 januari 1968 ) cinta dari sebuah kamar ( seoul, ogos 1970 ) pohon cemara ( copenhagen, 15 okt. 1966 ) kalau kau mau ( hong kong, julai 1970 ) merupakan renungan dan pemikiran penyair terhadap budaya, sosial dan ekonomi di beberapa tempat yang digubah dalam minda Melayu dengan eleman pantun dan syair. Kita temui bentuk visual seperti zig-zag dan anak tangga seperti banjir, setitis darah atau satu perspektif, pepisahan, burung-burung hitam, masih kudengar dan lain-lain. Puisi pendek Latiff sangat menguja dan mendapat perhatian yang sangat menghiburkan.

No comments:

Post a Comment