Sunday, June 19, 2011

PEMBERONTAKAN PYANHABIB

Tahun-tahun 1980an ditandai dengan kebangkitan pemberontakan anak muda. Sama ada dunia teater atau pun puisi, riak tersebut semakin terasa. Dalam dunia teater, alm. Abdulaziz H.M. dengan pendekatan teater minikata yang dibawanya dari Jakarta, berkembang di pantai timur. Bersama Marzuki Ali, Wan Ahmad Ismail, Wanafisu dan alm. Razali Ismail, teater pemberontakan berkiprah di sana. Di Kuala Lumpur, Johan Jaffar, Dinsman, Hatta Azad Khan, Meor Hashim Manap dan Zakaria Ariffin meneroka dunia kelam dan samar. Insflakasta, Kerusi, Mayat, Projek Izie antara yang menelorkan revolusi. Lahir sama waktu itu ialah Pyanhabib melalui puisinya Suara ( Kuala Lumpur, 1982 ) dan Saraf Dukaku ( Kuala Lumpur, 1985 ) sebagai manifestasi gejolak rasa anak muda.

Pyan atau nama sebenarnya Mohd. Supyan Abdul Rahman dilahirkan di sebuah kampung di daerah Taiping, Perak, Malaysia pada 27 Mei 1958. Sejak usianya 11 tahun beliau telah kehilangan pendengaran akibat demam panas yang dihidapinya. Pendidikannya hanya sekadar Sijil Rendah Pelajaran serta sedikit ilmu agama yang dipelajari di pondok. Dengan sedikit pengetahuan membaca dalam jawi, Pyan mengenali nama-nama tokoh sastra seperti Latiff Mohiden dan Komunitas Anak Alamnya. Lalu dikuatkan azamnya untuk ke Kuala Lumpur. Suatu hari pada tahun 1975, dengan hanya hadir sehelai sepinggang, Pyan sampai ke Kuala Lumpur dan ditakdirkan berjumpa dengan tokoh pujaannya Latiff Mohiden, Mustaffa Ibrahim dan lain-lain di sebuah kedai Batik di Jalan Melayu. Bermulalah kehidupan beliau sebagai seorang seniman di bumbung Komunitas Anak Alam di Persiaran Tun Ismail, Kuala Lumpur atau lebih terkenal dengan Padang Merbuk ( di mana terletaknya Akademi Seni dan Budaya Warisan - ASWARA, sekarang ) Sejarah kegemilangannya mula terukir apabila beliau menempati sebuah ruang di majalah Dewan  Sastera ( April 1979 ) dengan rencana ' Pyanhabib: Raungan Pilu Memberontak ' diwawancara oleh Dinsman. Lanjutnya, puisi pertamanya telah tersiar di Dewan Sastera ( Juli 1979 ) Puisi ( atau sekadar catatan tanpa jodol ) berbunyi demikian;

setiap hari kita membaca suratkabar
yang menyiarkan berita tentang permainan kanak-kanak
hingga jentera roket
seterusnya kita lihat orang-orang mencipta jentera
dari pasir dan batu
dan kita dapat asap telah menghitamkan udara

Tulisan ini diilhamkan sesampainya ke Kuala Lumpur pada tahun 1975 dalam usianya 17 tahun!

Seterusnya Pyan tanpa memandang ke belakang lagi dan memacu dirinya dalam dunia puisi Malaysia.

Menceritakan tentang pertemuannya dengan Latiff Mohiden, ia mendatang nostalgia indah bagi Pyan. Suatu ketika ditemui Latiff yang bersiap hendak ke pameran seni lukis di Dewan Perniagaan Cina di Bulatan Dewan Bahasa, Pyan menghulurkan autograf kepadanya. Latiff hanya menulis, ' Nak hujan, hujanlah ' Memang kebetulan hari mahu hujan. Di pihak Latiff pula menceritakan, Pyanhabib dari hari ke sehari ikut serta dalam setiap kegiatan sampingan kami, terutama dalam kegiatan sastra. Kususnya acara pembacaan puisi. Di malam hari kelihatan dia tekun menulis, mengetik baris-baris sajak yang akan dibacanya keesokkan harinya dengan segala keriangan, dengan segala gaya mimik kepada teman-temannya. Keistimewaannya membaca, mendeklamasi puisi itu mula mendapat perhatian orang ramai. Sebagai pendeklamasi yang mempunyai ' gaya ' istimewa dia kemudian bisa saja menarik perhatian audion. ( Latiff Mohiden, 1986:27 )

Pada tahun 1982, bercerita-cerita dengan teman-temannya, Nasir Jani, Pyan ditarik untuk jadi pelakon film. Lantas okey saja, beliau pun berlakon film Kembara Seniman Jalanan bersama pelakon utamanya M. Nasir,  Khatijah Ibrahim, Ito dari group Blues Gang dan Ramli Sarip dari group Sweet Charity. Mulai dari itu, banyak film yang beliau lakonkan antaranya Syyy.., Tsu Feh-Sofiah, Tak Kisahlah, Beb!, Rozanna Cinta, 87, Matsom dan lain-lain. Mengenai profesinya sebagai wartawan di majalah Mastika, Pyan menyatakan ia bermula pada tahun 1982, ketika beliau membaca puisi meraikan Dr. Mahathir, Pak Mazlan Nordin, Pengarah Urusan Utusan Melayu mempelawa beliau menyertai Utusan dan ditempatkan di majalah Mastika. Barangkali terkesan oleh puisi ' Lapar ' yang bercerita tentang orang gelandangan, ya, Pyan okey saja menerima pelawaan kerja tersebut.

Beberapa puisi kecilnya yang terdapat dalam kumpulan puisi Suara seakan identitinya.

tiga sajak kecil

taman

maaf
kalau aku tersentuh
susumu yang penuh

surat cinta

kata-kata berhamburan
bagai bunyi air terjun
dan berahi haiwan di hutan

misteri

mari kita bercinta
Kau
   kau
jangan bunuhku

4 oktober 1980

luka

seperti siput mengembara
ketika air sedang surut
- aku mengembara
begitu siput
dengan mulut penuh lumpur
- terkapar
begitu aku
jadi nanar
dan tersungkur
dengan mulut terbuka
menghulur
lidah terbakar

1977

27 mei sebuah memori

malam
masa silam seorang bayi meraung
- tidurku telah diganggu -
' pyan
aku tak sempat belikan hadiah
bergembiralah
aku doakan kau panjang umur
dan selamat berkarya '
                                hanafiah

mataku tiba-tiba berkaca

siang
masa silam seorang bayi meraung
- ku beri kau salam -
' pyan
terima kasih
selamat hari jadi
bila senang akan datang lagi '
                                   evelyn

mataku tiba-tiba bercahaya

27 mei 1979


Namun puisi Pyan yang paling diingat ialah Suara.

sepi berguling pada tebing bukit-bukit bening
pedih memilu
resah mengerang pada jurang gaung-gaung garang
pahit mengilu
hey
pernahkah engkau  melihat aku mundar-mandir
di lorong-lorong usang hanyir
pernahkah engkau
hey
pernahkah engkau melihat aku tersungkur-mundur
di warung-warung gelas anggur
pernahkah engkau
adalah aku yang sering menggigil
sewaktu aku yang sering menerjang
sewaktu terasa hari-hari begitu panjang

resah ku bakar bagai bintang gugur ke bumi
KE BUMI

seringkali terdesir dan menyelinap
ke penjuru ruang kamar pengap
siapakah yang datang mengetuk pintu itu
dan memanggil-manggil namaku
aku tidak pasti meski pun berkali-kali
engkau ku susuri
suara
         suara
                  suara
di manakah suara itu
ke manakah menghilang
sepi pun menurun
aku menjadi rindu
suara
         suara
                  suara

1975

* ( dedikasi kutujukan tulisan ini untuk harijadimu, saudaraku Pyanhabib )


rujukan

1. Dewan Sastera ( Ogos 1986 )
2. Suara ( Kuala Lumpur, 1982 )

Pyan di sisi keluarga bahagianya..

1 comment:

  1. Blog yang amat menarik. Selamat harijadi untuk Pyan.

    ReplyDelete