Saturday, May 14, 2011

PEMERKASAAN WANITA DALAM NOVEL-NOVEL SITI ZAINON

Siti Zainon Ismail, pengarang, penyair dan pelukis. Tompokan bakat yang ternyata tidak dimiliki semua orang. Siti Zainon meletakkan watak dalam karyanya sebagai satu pernyataan, diberi tafsiran pemerkasaan wanita. Seperti dirinya yang mencapai puncak akedemia dengan memiliki Ph. D ( Dr. ) Siti Zainon melihat wanita masih memperjuangkan kedudukannya di mata masyarakat. Apatah lagi dalam dalam dunia karya sastera, gambaran wanita dalam novel masih streotaip, terpinggir dengan penyerlahan male-centredness dan menenggelamkan women-centredness. Bukan setakat watak dalam karya tetapi penulis wanita sendiri masih dikatakan belum layak untuk menduduki gelaran Sasterawan Negara. Begitulah ironisnya. Lalu penulis wanita menulis dengan matlamat memperkasakan kedudukan wanita, sekaligus bagi menolak nilai-nilai dan tanggapan tradisi yang cenderung kepada bias gender, mengeksploitasi dan mendiskriminasi wanita, disamping untuk menonjolkan keupayaan, kebolehan dan kemampuan sebenar wanita dalam mendepani perjuangan kehidupan ( Norhayati Abdul Rahman, 2006: 290 )


Sikap dan pemikiran masyarakat terhadap wanita umumnya ditentukan oleh pembahagian peranan antara lelaki dan perempuan dalam masyarakat.

to the sevual dichotomy is added spatial deminsion; the locus of the women is domestic, within the home, having an axtension to the world beyond the spacifically religions purposes, while the place of men is primarily in economic ralm, ini the autside world ( Hirschon, 1993:57 )

Melihat situasi hari ini, dikotomi rigid peranan wanita dan lelaki dalam masyarakat tidak sesuai lagi. Wanita generasi baru sekarang telah ke hadapan, bergerak bebas dalam public sphere yang tidak terkongkong dalam domestic sphere seperti masyarakat patriarki. Dan inilah nilai-nilai watak wanita di tangan Siti Zainon. Dalam novel Pulau Renik Ungu ( DBP, 1995 ) Zaidah digambarkan gadis dari Laut Selatan berkulit coklat lembut bermata hitam pekat. Zaidah atau Zeida panggilan mesra Henry bukannya seperti Julian, Mena atau Dorothe yang sering Baker enceri tika menikmati zaman remaja. Zaidah lain, penuh kelembutan seperti yang dilihat pada makan malam terakhir sambil menyelesaikan lakaran potret Baker. Ya, Zaidah gadis pulau rempah dari Laut Selatan yang suka melukis? Zaidah? Zainon? Autobiografi..

Henry? Siapa Henry? Zaidah Johri Thibroni. Zaidah adalah tokoh ini. Wanita Melayu yang ditemui oleh pengembara-pengembara barat di pulau rempah. Zaidah yang dikenali sewaktu membahas ceramah sosiobudaya dalam seminar komunikasi. Kelihatannya tenang dan tidak sombong. Dari situlah percintaan mula berputik dan berakhir di jinjang pelamin. Henry telah menukar namanya kepada Hairul dan pulang ke Sydney menemui keluarganya dengan membawa Zaidah, isterinya. Memang ini merupakan novel dari pengalaman peribadi. Kisah yang diperluaskan di kawasan kepulauan rempah di mana barat telah menjarah sekian lama. Tidak mustahil barat telah menanam segala benih kerinduan terhadap tanah rempah yang istimewa ini. Dan benih-benih itu merupakan benih cinta yang diredam di rahim-rahim wanita Melayu di pulau-pulau rempah tidak kira ianya Banjar, Jawa, Aceh, Bugis, Minang dan sebagainya.

Meneliti novel semi autobiografi ini sememangnya Siti Zainon memanfaatkan pengalaman, pemerhatian dan pergaulannya. Ditambah dengan bacaan daripada Har Suyin, Garing Young, A. Samad Said, Arenawati membuat beliau sangat mengakrapi dunia pengembaraan ini. Apatah lagi dunia pengembaraan Siti Zainon bermula sejak umurnya sembilan tahun apabila beliau berkeretapi dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan merasai sendiri menaiki feri di Tambatan Diraja Kota Bharu menyeberangi Sungai Kelantan yang deras mengalir itu menyusur Wakaf Baru, Tumpat dan berakhir di Pengkalan Kubur sebelum ke Sungai Golok di sebelah utaranya. Apabila usianya meningkat remaja, beliau menyeberangi Banyuwangi ke Pulau Dewata untuk mengaji seni lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia ( ASRI ) dan menjelang usia dewasanya menyeberang pula Laut Baltik untuk mencari segala warisan budaya nenek moyang yang tersimpan di ceruk musium dan kutub khanah di seluruh dunia.

Melalui novel Delima Ranting Senja ( Utusan, 2009 ) persoalan Siti Zainon masih di pulau-pulau rempah. Namun penokohan watak Sofina ditonjolkan sebegitu rupa. Sofina yang punya kantor di Bangi ( Bangi, Universiti Kebangsaan Malaysia ) adalah kantor Siti Zainon sendiri. Bermakna sebagai Sofina ( Siti Zainon ) beliau mengembara ke pulau-pulau rempah tetapi mendekam agak lama di Aceh, negara bermatra ganda dengan bencana. Barangkali pulau rempah yang paling diakrapi di antara pulau dewata ialah Aceh kerana di sini terhuninya Ali Hashmi ( alm. ) kyai, budayawan sekaligus bapa angkatnya. Banyak titipan yang Sofina dapati di Aceh, sehingga tidak ditawar-tawar lagi baktinya. Dalam kajian budaya mengenai Aceh, Sofina mendapat penghargaan Profesor Luar Biasa Universitas Jabal Ghafur dan tertinggi untuk negaranya anugerah Cut Nyak Fakinah. Memisahkan Sofina dan Siti Zainon begitu sukar, dua kembar kembara yang seiring jalan. Malah di sini Sofina disatukan dengan Arif Hafiz, si Henry yang kemudian menukar namanya sebagai Hairul ( lih. Pulau Renik Ungu ) oleh alm. Ali Hashmi. Aceh mendasari keseluruhan kecintaan Sofina terhadap pulau-pulau rempah. Apabila Delima Ranting Senja bertolak dengan pendodoran DOM ( Daerah Operasi Meliteri ) dan memunculkan seluruh bala tenteranya, tentera gunung, ia adalah penghormatan Sofina terhadap perjuangan rakyat Aceh yang terpidana. Sofina adalah refleksi Zaidah dalam Pulau Renik Ungu yang dibeberkan kembali dalam Delima Ranting Senja. Sofina sebagai sejarawan dan budayawan mengajak kita semua mencebur ke dalam keluasan laut sejarah bangsanya. Kerana itulah dititip puisi sebagai penamat  

Delima Ranting Senja.

Hingga senja
menunggu detik Mu
bawalah aku ke sana
ke Rumah Cinta
Delima Ranting Senja
Kau
Aku
menyatu sukma
Amin!

( Delima Ranting Senja. hal. 499 )


Puisi penyerahan. Sofina tidak lagi bercinta dengan kesementaraan. Cintanya di pulau-pulau rempah begitu rapuh seperti mana sejarah terdahulu bangsanya. Cintanya terarah ke cinta Ya Rabb. Cinta untuk Nabi dan Rasulnya. Sofina mahu menciumi harum bau Kaabah dan rahsia di dalamnya. Sofina biarpun berkelana dalam dunia keilmuan dan dunia yang penuh dengan asam garam kemanisan sementara, akhirnya tersimpuh di kaki Ilahi. Hal itulah yang ditinggalkan dalam Delima Ranting Senja selepas Pulau Renik Ungu, sedekad terdahulu.

Virginia Matheson Hooker dalam menanggapi Perubahan Sosial Menerusi Novel Melayu: Mencipta Masyarakat Baru memetik beberapa ungkapan, "... dalam usaha mencari pengetahuan tentang diri sendiri dan sebuah masyarakat yang benar-benar bersikap perikemanusiaan, imaginasi dan kata-kata seniman merupakan panduan yang amat berguna ( Martha C. Nussbaum, Love's Knowlege Esseys an Philosophy and Literature, 1990, hal. 53 ) Begitu juga dikutipnya dari Karl Mannheim, Ideology an Utopia, " ... sebuah masyarakat dapat diwujudkan pada akhirnya kerana individu tentang yang hidup dalamnya menyimpan suatu gambaran tentang masyarakat itu dalam kepala mereka ( 1964, hal. xxiii )

Virginia dalam pengantar menyatakan, " ...memahami konteks pengarang Melayu menulis sangat penting. Usaha mereka membentuk rintisan. Kesusasteraan Melayu tradisional dalam kebudayaan Melayu bersifat lisan dan konservatif dari segi kelaziman dan tema. Orang Melayu yang memilih roman sebagai wahana mereka terpaksa merangka kreateria baru bagi menghasilkan dan penerimaan karya mereka. ( Mencipta Masyarakat Baru, hal. xv )

Begitulah Siti Zainon telah meletakkan minda Melayu di celah-celah peradapan dunia. Wanita Melayu sejak dahulu memegang massa antaranya Tun Fatimah, Laksamana Keumalahayati, Cut Banta, Cut Nyak Dhein, Megawati Dewi Soekarno dan lain-lain. Kini terus diwarisi oleh Khatijah Hashim, Salmah Mochsin, Adibah Amin, Fatimah Busu, Zurinah Hassan, Zaharah Nawawi, Sarah Rahim, Siti Zainon Ismail, De Kemalawati, Diah Hadaning, Sastri Yunizarti Bakry, Rosmini Shaari, dan diikuti Azmah Nordin, Mawar Safie, Aminah Mokhtar, Rosmiaty Shaari, Nisah Haron, Siti Jasmina Ibrahim dan puluhan yang lain. Perjuangan menegakkan gender tidak terelakkan lagi.


rujukan

1. Mencipta Masyarakat Baru: Perubahan Sosial Menerusi Novel Melayu ( Virginia M. Hooker, DBP, 2003 )
2. Pulau Renik Ungu ( DBP, 1995 )
3. Delima Ranting Senja ( Utusan, 2009 )
4. Persidangan Kebudayaan dan Sastera Melayu Antarabangsa ( UM, 2006 )

 

No comments:

Post a Comment