Thursday, June 16, 2011

RAHMAN SHAARI - SUATU NAMA SASTERA

Rahman Shaari suatu nama yang menarik dalam sastera Malaysia. Entah di mana menariknya, saya berasa beliau ada kemilaunya sendiri. Rahman menulis dalam semua genre puisi, cerpen, novel, drama pentas, esei kritikan, isu politik dan banyak lagi. Walau bagaimana pun, Rahman sangat menyerlah dalam puisi dan kritikan sastra.

Rahman Shaari dilahirkan pada 5 September 1949 di Kampung Utan Lembah, Oran, Perlis. Didikan awalnya di Sekolah Umum Guar Nangka, Sekolah Kebangsaan Oran dan Sekolah Menengah Derga, Kangar. Pada tahun 1965, beliau ke Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur dalam jurusan sains. ( catatan: Sekolah Alam Shah adalah sebuah sekolah berasrama penuh untuk anak bumiputra yang cemerlang dalam pelajarannya ) Dan Rahman Shaari tergolong sebagai pelajar cemerlang dan bijak.

Pada tahun 1970-1971 beliau mengikuti Kursus Perguruan di Sultan Idris Training College ( SITC ) Tanjung Malim, Perak. Kerjaya dimulai dengan mengajar di Sekolah Kebangsaan Aur Gading, Kuala Lipis, Pahang dan Sekolah Kebangsaan Lanabulu, Kedah. Pada tahun 1973, beliau melanjutkan pelajarannya di Institut Bahasa, Kesusastraan dan Kebudayaan Melayu ( IBKKM ) Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Persuratan ( 1977-1979 ) Pada tahun 1980, beliau ke Pusat Perkembangan Kurikulum. Pada tahun 1983, bertugas sebagai tutor di IBKKM, UKM disamping mengikuti program siswazah lanjutan peringkat sarjana. Ijazah Sarjana Persuratan diperolehi pada 1989 dan bertugas sebagai dosen ( pensyarah ) Kaedah Pengajaran Persuratan Melayu, di Fakultas Pendidikan Universiti Malaya sejak tahun 1988.

Rahman pernah dihantar mengikuti kursus Teater Pendidikan di University of Warwick, England pada tahun 1986 dan Kursus Penulisan Antarabangsa di Iowa University, Amerika Serikat pada tahun 1991. Sebagai penyair, Rahman telah menulis puisi sejak tahun 1960an lagi. Sajak pertamanya ' Buku Bicara ' disiarkan di Dewan Sastra ( April 1971 ) ( catatan: Dewan Sastra adalah majalah kusus sastra dan karya puisi pertama beliau tersiar di majalah itu - luar biasa ) Beliau memenangi Peraduan Menulis Esei Sastra anjuran Maktab-Maktab Perguruan se Malaysia ( 1972 ) dengan jodol, Pelopor-Pelopor Penting dalam Kesusastraan Melayu Moden. Tahun 1976, puisinya Giliran dan Hamparan Kuning memenangi hadiah Karya sastera. Tahun 1977, memenangi Sayembara Penulisan Esei dan Kritikan Sastra Dewan Bahasa dengan jodol. ' Pembaharuan Yang Berkesan dan Perpuisian Melayu Moden ' Pada tahun 1982, 1986, dua buah puisinya Mencari Isteri dan Bahasa memenangi Hadiah Sastra Malaysia. Kumpulan puisi yang telah diterbitkan ialah Hamparan Kuning ( 1979 ) Kesan Kunjungan ( 1982 ) Serpihan Diri ( 1987 ) Melati dan Bahang ( 1994 )

Sementara novelnya pula ialah Mufarakah ( 1992 ) Buku-buku kritikan dan esei sastra yang diterbitkan ialah Di Sekitar Esei dan Kritikan ( 1981 ) Pendekatan dan Pemikiran dan Kritikan Sastra Melayu ( 1989 ) Berkenalan dengan Kritikan Sastra ( 1989 ) dan Memahami Gaya Bahasa ( 1993 ) Beliau sering kali dikenali sebagai hafiz puisi kerana menghafal lebih 300 buah puisi. Penampilannya di pentas-pentas bacaan puisi sangat dinanti-nantikan oleh peminatnya. Vokal penyampaiannya sangat baik. Dalam Pembacaan Puisi-Puisi Dari Malaysia ( Kaset, DBP, 1980 ) Rahman membacakan puisi-puisi Kassim Ahmad, Nyanyi dan Penyairmu. Kesan penyampaian puisinya menunjukkan mutu pembacaan yang sangat baik terutamanya sajak-sajak Kassim Ahmad.

Rahman Shaari berdiri dengan juzuknya yang tersendiri dalam dunia sastera Malayu Malaysia. Seperti teman-teman lainnya, Mana Sikana, Shafie Abu Bakar, Sahlan Mohd Saman, Hamzah Hamdani, Dr. Bukhari Lubis dan lain-lain. Rahman Shaari mempunyai gaya tersendiri. Seperti dramanya Dosa Demang, watak-wataknya di pentas sangat menokohkan Rahman Shaari di pentas sastra tanah air..

Puisi Rahman yang sangat diingati ialah Hamparan Kuning.

Sesekali pulang
mau kuresapkan keseluruhanmu
ke dasar diri
lalu hidup bersama aliran darahku
sambungan dari keikhlasan cinta
ayah ibu
yang mendewasakan aku kemudian lepas
kerana yakin pada ilmu
' tanah di kampung ini ' kata ayah
' akan nanti tidak sesubur
apa yang bakal terhampar
di dadamu '

di beranda rendah ini
mataku bermandi di lautan padi
hamparan kuning
engkau bakal mendarahkan budayaku
teman akrap yang pernah menjauh
kembali mengetuk pintu kesadaranku

aku kini pulang padamu
bersama kasih dulu tak bakal layu
aku pulang dengan rasa lama
dan akal baru

1971


rujukan

1. Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu ( DBP, 1994 )

5 comments:

  1. Assalammualaikum..saya nurul pelajar UKM. boleh saya tahu bagaimana caranya untuk saya berhubung dengan tuan rahman shaari bagi menyiapkan kajian mengenai kehidupan beliau?kalau ada boleh share dengan saya?

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum..saya nurul pelajar UKM. boleh saya tahu bagaimana caranya untuk saya berhubung dengan tuan rahman shaari bagi menyiapkan kajian mengenai kehidupan beliau?kalau ada boleh share dengan saya?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wasalam..insyaallah..wechat shaikh03..

      Delete
    2. Wasalam..insyaallah..wechat shaikh03..

      Delete