Sunday, June 19, 2011

SAGA - BUAH HATI ABDUL TALIB HASSAN

Saga ( Utusan Melayu, 1976, 388 hal. ) merupakan novel yang diangkat menjadi pemenang Hadiah Novel Gapena 1976. Saga, buah tangan Abdul Talib Hassan ( al-Taha ) yang selama ini terkenal dengan drama-dramaya Penantian, Anjang Aki, Pesta Malaikat dan lain-lain. Saga mengisahkan perjuangan 3 orang sahabat iaitu Rahmat, Hisham dan Munirah untuk membangunkan Kampung Batu Ragi. Selepas melintasi Gemas, melalui jalan darat sepanjang 11 batu mereka sampai ke Batu Anam dan mengarus ke hulu Sungai Muar melintasi beberapa kampung kecil sebelum sampai ke Batu Ragi. Dengan usaha mereka, kampung Batu Ragi akhirnya mendapat bekalan eletrik dan mempunyai jalan tar yang membolehkan motosikal digunakan untuik mengangkut buah-buahan ke bandar. Aktivitas komunis juga dapat dibendung dengan kampung yang semakin maju. Namun fokus Rahmat membangunkan kampung akhirnya telah membentang benang halus hubungannya dengan Munirah, temannya sejak dari kampus yang dikahwininya.  Hati Munirah terasa kosong lantas beralih kepada Hisham lelaki yang sangat dikasihi sejak di universitas tetapi terjebak cinta tiga segi antara Munirah-Hisham-Rahmat. Rahmat dengan siasahnya walau bukan dengan sepenuh kesetiaan dan cintanya terhadap Munirah, telah bertindak di luar batas kesetiaan dan pengorbanan seorang kawan, Hisham, lantas menikahi Munirah. Dan akhirnya Rahmat sedar bahawa bibit-bibit cinta Munirah-Hisham adalah lebih kukuh dan tulus dan berusaha melepaskan  ikatan perkahwinannya dengan Munirah.

Saga adalah kisah perjuangan, edialisme dan cinta 3 segi yang unik. Telah banyak diperkatakan tentang kehebatan novel yang memenangi hadiah Gapena ini. Penulisnya, Abdul Talib Hassan ( al-Taha ) lahir pada 11 Oktober 1947 di Teluk Intan, Perak. Pernah mengikuti kursus di Pusat Latihan Harian, Teluk Intan ( 1965-1967 ) Dengan belajar sendiri beliau lulus Sijil Pelajaran Malaysia ( 1965 ) dan kemudian mengajar di Sekolah Kebangsaan Simpang Loi, Segamat, Johor.

Kegiatan penulisan seawal 1960 dengan genre cerpen, novel dan skrip drama pentas. Beliau sering memenangi hadiah. Dramanya Pesta Malaikat telah memenangi hadiah Saguhati Peraduan Menulis Skrip Drama anjuran Majlis Drama Malaysia. Jalan Jahanam memenangi hadiah saguhati Menulis Drama anjuran Kumpulan Seni Teater Malaysia. Saga ( 1976 ) menang hadiah novel Gapena. Novel Pelarian menang sayembara novel Hari Guru ( 1978 ) Pak Hitam menang hadiah novel kanak-kanak DBP. Penantian memenangi drama pentas DBP ( 1978 ) Penantian kemudian diadaptasi ke drama televisyen menjadi Anjang Aki yang sangat popular itu ( 1980 ) Novel Warisan ( Creative, 1989 ) memenangi hadiah ke 2 Gapena-Yayasan Sabah di belakang Hari-Hari Tearakhir Seorang Seniman, Anwar Ridhwan. Drama Suatu Perhitungan mendapat hadiah menulis Drama berunsur Islam, Jabatan Perdana Menteri. Antara novel lain yang diterbitkan  ialah Bayang-Bayang Ungu ( 1978 ) Khailee ( 1985 ) Warisan ( 1989 ) Di Rahang Sumpah ( 1992 ) Saga 2 ( 1991 ) Saga 3 ( 2001 ) Beliau bertugas sebagai guru di Segamat, Johor dan telah bersara beberapa tahun yang lalu. Abdul Taib Hassan mempunyai kedudukannya sendiri dalam sastera Malaysia dan rantau nusantara.

No comments:

Post a Comment