Thursday, February 6, 2014

KEAJAIBAN ALAM FATIMAH BUSU

Selain Shahnon Ahmad, Anwar Ridhwan, Azizi Haji Abdullah dan Baharuddin Kahar, Fatimah Busu adalah penulis cerpen yang paling kuat dan seringkali diperkatakan. Kelebihan Fatimah seperti juga Shahnon, ialah ketelitiannya dan naratifnya yang menyentuh dalam setiap cerpennya. Sebab itulah cerpen-cerpen Fatimah terbangun dalam minda pembaca dan sentiasa malar hijau kedudukannya. Fatimah telah menghasilkan enam buah kumpulan cerpen iaitu Yang Abadi ( 1980 ) Lambaian Tanah Hijau ( 1980 ) Al-Isra ( 1984 ) Keajaiban Alam ( 2004 ) Bunga-Bunga Pulau ( 2005 ) dan Aduhai ( 2011 ) Keajaiban Alam inilah yang saya lihat sebagai kematangan karya Fatimah sebagai penulis cerpen.

Selain cerpen, Fatimah juga menghasilkan novel iaitu Ombak Bukan Biru ( 1974 ) Kepulangan ( 1982 ) The Missing Peace I dan II ( 2005 ) dan Salam Maria ( 2004 ) Sebagai penulis dua genre prosa iaitu cerpen dan novel, Fatimah sering disorot sebagai penuilis cerpen. Fatimah Busu dilahirkan pada bulan Januari 1943 di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan. Setelah tamat pendidikan formalnya di sekolah rendah dan menengah, beliau menyambung pengajian dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perempuan Melayu, Durian Daun, Melaka. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai guru untuk beberapa tahun. Pada awal dekan 1970-an, Fatimah Busu menyambung pengajian tingginya di Universiti Sains Malaysia ( USM ), Pulau Pinang. Berkat kesungguhannya dalam bidang akademik, Fatimah Busu memperoleh Ijazah Sarjana Sastera ( 1978 ) dan Doktor Falsafah ( 1994 ) di universiti yang sama. Kemudian beliau bertugas sebagai pensyarah sehingga bersara pada tahun 1998. Kini beliau berkhidmat secara kontrak sebagai penyarah di USM.
Karya-karya yang memenangi pelbagai hadiah adalah seperti berikut:
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1971 "Mawar Yang Belum Gugur."
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1972 "Nasinya Tumpah"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1973 "Freshie"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1973 "Lambaian Tanah Hijau"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1974 "Bunga-bupendidikan formalnya di sekolah rendah dan menengah, beliau menyambung pengajian dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perempuan nga Pulau"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1974 "Sampah Yang Hanyut"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1975 "Anak Bumi Tercinta"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1975 "Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan"
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1983/84 "Mahar Asmara" ( 1983/1984 )
  • Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 "Al-Amin"
  • Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993. "Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden: Kajian Perbandingan ( DBP, 1992 ).
  • Hadiah Sastera Malaysia "Anak Bumi Tercinta" ( antologi Anak Bumi Tercinta, DBP, 2001 )
  • Hadiah Sastera Malaysia "Anak-anak dari Kampung Pasir Pekan" ( antologi Warna Sari Sastera Melayu Moden, DBP, 1996 )
Dalam kumpulan Keajaiban Alam, Fatimah menyatakan motif penulisannya iaitu, tiga motif utama dalam kumpulan ini ialah, nostalgia kehidupan silam, cereka mimpi dan kritikal sosial ( 2004: i ) Cereka mimpi kelihatan dalam cerpen Melihat Hujan dan Apa Ada  Di Sini. Sementara dalam kritikan sosial pada cerpen Cerita Biasa Tentang Perempuan dan Keajaiban Alam dan selebihnya adalah tema kesukaannya nostalgia kehidupan silam. Dua buah cerpen yang sangat mencabar ialah Cerita Biasa Tentang Perempuan dan Keajaban Alam. Cerita Biasa Tentang Perempuan ialah kritikan Fatimah terhadap ketiadakadilan gender. Ini bukan suara feminis, ini suara amarah terhadap patriarki. Kisah Jannatul seorang gadis kilang yang terlanjur berzina dengan Zuraidin, Danial dan Zamani. Bukan saja Jannatul, Zalifah, Mariani, Alamanda, Zawiyah, Adawiah dan Azizah yang semuanya menjadi kebuasan nafsu Zamani, Khairul, Rasuddin dan lain-lain. Fenonima kejalangan itu apa beberapa gadis yang berzina itu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah kerana membuang bayi di tong sampah, hutan banat, longkang dan lain-lain. Lalu Fatimah merumuskan seperti ini;
" Semuanya..! Semuanya perempuan yang bersalah! " kata Secewi kepada kaum keluarganya yang membuat rumah di atas pokok berhampiran bangunan mahkamah.
" Tidak ada manusia lelaki yang bersalah! "
" Itulah... " kata seorang ana Secewi.
" Baiknya manusia perempuan jangan punya alat kelamin... tengok manusia lelaki tidak punya alat kelamin, sebab itu mereka tidak pernah bersalah "
" Manusia perempuan sekarang bijak benar. Sudah pandai buat anak sendriri tanpa mlelaki. Macam kaum Secewi juga... ha.. ha...ha.. hiii...hiii... "
Semua kaum Secewi pun ketawa beramai-ramai riuh rendah hingga pokok bergoyang-goyang. Akan tetapi tidak ada yang mendengar perkataan dan ketawa mereka kerana mereka itu hantu. Jadi yang mendengar suara dan ketawa mereka hanya tembok, meja, pintu, kerusi, debu-debu dan udara di mahkamah saja ( hal. 182 )

Begitulah Fatimah memarahi situasi semasa pembuangan bayi. Bayi tak mungkin dikandung kalau tidak dimasukkan benih lelaki dalam rahimnya. Namun apabila musibah terjadi, hanya perempuan yang harus dipersalahkan. Sepatutnya hakim dalam pengadilan ini seorang perempuan. Yang demikian, lelaki akan diseret ke dalam kerangkeng oleh perbuatan keji terhadap perempuan.

Kritikan mengenai kepimpinan ialah tentang Mahligai Presiden yang luar biasa gahnya. Satira ini tidak terlalu sukar untuk dighalibkan kerana ianya terpampang di depan mata kita. Sebuah mahligai untuk presiden dibena dengan harga RF 500 juta, kadar harga yang terlalu kecil berbanding keringat, air liur, otak dan bulu roma presiden yang gugur demi rakyat, bangsa, negara dan agama ( hal. 409 ) Harga yang murah ini telah meliputi setiap keping kaca yang diimport dari Itali, marmar dari Switzerland, jubin dari Mesir, bingkai pintu tandas berupa kayu mohagoni dari Afrika, mozek emas lantai bilik mandi, ukiran awan larat pada setiap pintu, tenaga buruh, plan arkitek, jurutera dan segala mandor, telah diluluskan sebulat suara oleh semua penyokong kerajaan kecuali pembangkang.

Kapasiti yang ditekankan juga mestilah bahan binaannya kalis peluru dan bom, bumbung dari kaca tahan gempa, bom dan sebarang senjata api, ada terowonhg terus ke lapangan terbang, setebal tujuh lapis dan beraliran eletrik seluruhnya. Kawasan luar mahligai dibena tasik yang dilepaskan ke dalamnya segala anakonda dari Brazil, ular tedung, ular kapak, ikan pirana dan buaya-buaya yang hidup di dalam air. Begitulah hebatnya mahligai presiden. Tetapi kuasa Allah, suatu pagi yang dingin, ketika rakyat terbanyak yang kais pagi makan pagi, berzikir, bertasmid, bertahajud dan berkiamulail, tiba-tiba mahligai presiden itu tenggelam ke dasar bumi. Dan dengan segala keluarbiasaan imajinasi Fatimah, digambarkan usaha-usaha menimbulkan mahligai yang tenggelam ke dasar bumi itu. Memang sebuah fore-shedowing yang mengkagumkan. Selain kritik sosial yang menghiburkan dan meloyakan bagi yang terkena batang hidungnya.

Namun saya lebih terhibur dan terperansi dengan stail Fatimah yang azali. Tentang nostalgia. Nasinya Tumpah, Anak-Anak Dari Kampung Pasir Pekan adalah masterpaece beliau di arena cerpen tanah air. Dan inilah juga yang mengingat pembaca terhadap Fatimah Busu. Dalam cerpen-cerpen nostalgia dalam kumpulan ini, terbagi dua cara pengucapan Fatimah. Satu, pengucapan naratif Fatimah dengan ryhtm dan dialek tempatan ( Kelantan ) dan kisah yang dilagan dengan bahasa standard iaitu bahasa Melayu baku. Saya sangat berkenan dengan cerita nostalgia yang dipertuturkan dengan roma dan irama Kelantanise yang hidup. Warna dan bahasa lokal ini sangat menjalar dan hidup. Cerpen Mempelai ( hal. 1 hingga 63 ) mengingat saya terhadap novel Kepulangannya yang meruapakan monolog watak utamanya. Kepulangan sama seperti novel Shahnon Ahmad, Tunggul-Tunggul Gerigis. Dalam Mempelai, Ceksu diriwayatkan begitu mendetail dari dalam monolognya. Kisah awalan Ceksu dengan dua ekor lembu Kuning dan Hitam. Sebenarnya, Fatimah menggunakan latar lembu Kuning dan Hitam ketika Ceksu memeliharanya, bagi menjelaskan susun atur cerita Ceksu, cek, ibu tiri dan adik-adik tirinya. Setelah pembaca memahami duduk perkara tentang Ceksu, barulah beredar kepada fokus cerita iaitu perkahwinan Ceksu. Ceksu akan dikahwinkan dengan Lijah yang merupakan perkahwinan kali ketiga Ceksu. Ini digambarkan oleh Fatimah melalui endingnya.

Pada perasaan Ceksu dia sedang berjalan dengan perempuan yang memakai kain merah dan berkemban kain perai kuning muda. Dan perempuan itu sedang berjalan dengan lincah mengikuti langkahnya di belakang, meniti batas-batas bendang padi di baruh Kampung Paluh untuk balik ke Pasir Pekan. Dan waktu tiba di rumah nanti, perempuan itu akan masuk ke dapur menyediakan nasi untuknya. Apabila waktu malam, perempuan itu akan tidur bersebelahan di tempat tidur ( hal. 63 )

Alangkah murni pengharapan Fatimah Busu terhadap perkahwinan yang didambakan oleh setiap insan. Inilah dunia khayal yang begitu indah, tidak kira kita dari lembah nun jauh di hujung desa atau di puncak menara sebagai seorang ilmuan terkemuka. Cinta adalah liabiliti bagi yang menghadapinya, tidak kira datang untuk kali yang ke berapa....

1 comment:

  1. tuan saya teringin utk mendapatkan kumpulan2 cerpen Drs Fatimah Busu.. bgmn utk saya dptkan kumpulan cerpen2 dan buku2 beliau? saya pernah membaca cerpen beliau waktu saya remaja

    ReplyDelete