Sesebuah karya, apabila telah sampai ke tengah khalayak, maka karya
itu tidak menjadi hak peribadi pengarangnya. Karya itu sudah menjadi hak
masyarakat untuk membahas, memperkata sama ada baik atau buruk. Banyak
pengarang takut berhadapan dengan hal ini. Bagi kebanyakan pengarang,
karya yang telah dihantar ke masyarakat adalah karya yang terbaik kerana
telah melalui proses sensor, pembaikan dan juga pengeditan. Lantas,
karya yang tersodor dalam masyarakat, adalah karya yang bersih, baik dan
perlu dijulang serta dipuja-puji setingginya. Haruskah begitu?
Saya
telah menyediakan masa yang panjang, terbaik dan melelahkan sepanjang
membaca dan meneliti karya empat pemenang genre puisi sayembara ITBM,
Pena-BH ini. Memang tiada yang menyuruh saya berbuat demikian.
Menyediakan sejumlah masa untuk mendapatkan karya terbitan ITBM yang
sukar didapati di pasaran, menyediakan sejumlah wang ringgit yang
sebenarnya elok untuk dibelanjakan ke arah yang lebih menyenangkan,
malah akan berhadapan dengan serangan atau ketidakpuasan hati
pengarang-pengarang yang akan saya amati dan perkatakan. Tapi sebagai
sebuah tanggungjawab yang entah siapa memberinya, saya rasa terpanggil
memperkatakan empat karya pemenang dalam genre puisi ini. Karya-karya
yang saya lahap ialah Sidang Kultus karya Raihani Mohd Saaid, Taman Maknawi karya Shamsudin Othman, Laut Tujuh Gelombang Buih karya Rahimidin Zahari dan Negeri Kunang-Kunang karya
Ridzuan Harun. Karya ini sudah diadili dan telah diketahui umum siapa
pemenang pertama, kedua, ketiga dan saguhati. Saya tak mungkin bisa
merobah keputusan tersebut, tetapi masih bisa memberi alternatif lain
mengenai karya tersebut.
Sebelum berjalan jauh, tentu
latar belakang kesemua pengarang pemenang ini sedia memberi gambaran,
siapakah mereka dan kenapakah mereka berada di kedudukan demikian.
Raihani Mohd Saaid, puteri sulung penyair mapan Dato Dr. Zurinah Hassan
terasuh dengan suasana dunia kepenyairan ibunya. Memiliki sarjana muda
dari Universitas Malaya dan sedang melanjutkan pengajiannya ke peringkat
master pula. Shamsudin Othman, seorang dosen kesusasteraan di
universitas Putra Malaysia dan menceburi genre puisi ini sudah lebih
tiga dekad lamanya. Rahimidin Zahari, penyair dan pendalang muda yang
sedang meletakkan dirinya sebagai pewaris Usman Awang, Latif Mohidin
terus terpancar kelicikannya dalam mengolah bahasa dan menyusun aksara.
Lintasan di atas pentas juga licik dan menarik. Sementara Ridzuan Harun,
nama yang sedang ditatih sebagai ' bollduzer ' dalam dunia
sastera Malaysia mutakhir. Seorang dosen di Akademi Seni Budaya Malaysia
( Aswara ) Dari sedikit catatan latar belakangnya, tiada siapa boleh
mempertikaikan kedudukan mereka ini di atas pentas puisi tanah air.
Saya
tidak akan mengulas mengikut urutan kronologi yang telah tersedia iaitu
Ridzuan Harun ke Raihani Mohd Saaid. Kerana saya tidak harus berjalan
di atas ril yang telah ditentulkan keazaliannya. Saya akan melihat
Shamsudin Othman melalui Taman Maknawi nya. Taman Maknawi adalah lanjutan pengucapan Shamsudin dalam Taman Percakapan dan Tanah Nurani.
Suara Shamsudin adalah suara datar yang mencangklung ke dalam jiwa
pembacanya. Air nurani dari sumber sabda dan firman, hadith dan
al-Quran, meleleh menjunam masuk ke nubari pembaca. Keseluruhan 31 buah
puisi Shamsudin bernafas keislaman sehingga ia terangkum sebagai
kumpulan puisi Islam.
Rahimidin melalui Laut Tujuh Gelombang Buih juga
menyertakan 31 buah puisi. Keseluruhan puisinya berteraskan perdalangan
wayang kulit. Medium yang cukup diakrapinya selama 3 dekad Rahimidin
mengauli dunia sastera. Rahimidin membesar dalam sekitar yang
memberangsangkan iaitu tanah serendah sekebun bunga yang kaya dengan
wayang kulit, dikir barat, silat dan tomoy. Oleh itu suara yang
terlontar darinya adalah suara milik peribadi Rahimidin yang sejati.
Sebagai kumpulan puisi yang fokus pengucapannya adalah wayang kulit,
tidak banyak yang dapat kita gali mengenai weltanchuoongnya mengenai dunia sejagat.
Berbanding dengan kumpulan puisi Sidang Kultus karya Raihani Mohd Saaid dan Negeri Kunang-Kunang karya
Ridzuan Harun, tema sejagat , mikro, kosmos, empeti dan nostalgia,
menyeluruh dan subur dalam taman puisinya. Raihani dilihat sebagai
mencari percubaan yang lain daripada puisi-puisinya yang lalu. Walaupun
terdapat 5 puisi berjudul Noir, puisi Raihani sejalur dengan
suara kalbunya yang noir dalam lingkung nalurinya yang seakan
memberontak. Raihani tidak sesyahdu Shamsudin dan sepetah Rahimidin
dalam memperkatakan dunianya. Raihani merengkuh dunia bianglala yang
kontang dan berselirat. Pengucapannya meledak dan tidak mesra pada
pendengaran telinga. Bentuknya seperti keliaran Ahmad Razali Yusof atau
Rendra dan menerjang terjang. Beliau menyatakan ia merupakan percubaan
meninggalkan gaya persajakannya yang terdahulu.
Ada kecenderungan Raihani tidak serius dalam mengerjakan sesuatu topik atau subjek puisi. Lapan buah puisi terkandung dalam Naskhah. Bila
diamat-amati, Naskhah hanya merupakan satu puisi panjang yang
dipenggal-penggal menjadi lapan buah puisi. Namun ia tidak berulang pada
Noir yang mempunyai empat bahagian. Ini jelas menunjukkan peserta
sayembara tidak begitu mengambil serius tentang penghasilan mutu puisi
yang mereka sampirkan kepada sayembara ini. Berbanding dengan sayembara
Puisi Putra dan Hadiah Sastera Darul Iman di mana penyertaan warga
sayembara sangat teliti dan bersungguh-sungguh. Hasilnya, pemenang yang
diikhtiraf mencapai tahab mutu pertandingan.
Ridhuan lebih bernostalgia. Himbauannya jauh ke tanah-tanah seberang. Dalam Sepi Yang Paling Jauh
terkesan tentang nostalgia berada di negeri tetangga. Kisah ini terakam
dalam puisi Musi, Bandung, Cikini dan lain-lain yang mengambarkan
kerinduannya terhadap tanah air tercinta. Suara Ridzuan lembut,
menyampaikan salam yang jauh terhadap keterpisahan dua bangsa serumpun,
seagama, sebudaya terpisah oleh batas geografi dan politik. Ridzuan mahu
mendekatkan jarak itu dengan puisi. Kerana audion belum akrab benar
dengan gaya Ridzuan, penampilan pertamanya dalam kumpulan puisi ini amat
berjaya. Pada saya, Ridzuan seperti sebuah kamera yang menjepretkan
gambar seutuh mungkin. Tiada tangan-tangan halus atau fikirannya yang ' merogol ' keindahan puisinya. Untuk itu barangkali Ridzuan terbaik di kalangan peserta yang lain.
Shamsudin
dan Rahimidin terkepong dan terperangkap dengan skop yang dibinanya
sendiri. Beliau mengurung dirinya dalam tema keislaman dan wayang
kulit. Ini menyekat kedua penyair ini daripada mengeluarkan idea
besarnya. Dalam sebuah sayembara yang rinci dan tidak memberi tema,
Shamsudin dan Rahimidin tidak harus terikat dengan tema. Tetapi inilah
yang dilakukan oleh mereka. Suara Shamsudin dan Rahimidin telah dikenali
umum. Siapa yang membaca puisi Shamsudin dan Rahimidin akan dapat
menebak penyairnya. Ini sepertimana kita mengenal Muhammad Haji Salleh,
Kemala atau Latif Mohidin. Suara mereka telah terpatent oleh gaya bahasa
peribadinya. Kenapa rata-rata pemenang hanya menyertakan sekitar
selingkung 30 buah puisi. Barangkali ini syarat penyertaan wajibnya.
Namun Ridzuan memberi 57 buah puisi dan dapat memperlihatkan keluasan weltanchuoongnya
sebagai penulis muda. Antara ke empat-empat mereka, Ridzuan paling muda
dari segi penampilannya sebagai penyair. Berbanding Rahimidin,
Shamsudin dan Raihani, Ridzuan pada saya belum mencipta nama dan inilah
permulaannya untuk beliau terus melonjak. Sekiranya Ridzuan gagal,
Ridzuan hanya akan menambah senarai penyair seumpama ' Moechtar Awang '.
Pada saya, Raihani sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam sayembara ini. Pengucapannya tidak ' cliche
' dan nampak ada pembaharuan sama ada terhadap penyairnya atau pun
ruang puisi itu sendiri. Raihani sebagai penulis muda, telah meneroka
dunia ' noir ' yang sekarang sedang giat diterokai oleh golongan
yang melabelkan dirinya indie. Indie tidak akan masuk ke dalam kelompok
sastera, noir Raihani menyerlah akan membuka vakuum tersebut. Dr. Anuar
Nor Arai telah merintisnya. Raihani menyambungnya..
Hasil
sayembara yang agak mendukacitakan ini juga barangkali ada kaitannya
dengan penghadan usia penyair yang menyertainya. Penyertaan dihadkan
kepada penyair di bawah 45 tahun. Ini tentulah tidak menggalakkan
penyair veteran menyertai sayembara ini. Barangkali akan lebih berhasil
sekiranya sayembara ini diperluaskannya kepada umum juga termasuk
penyertaan dari peserta luar negara yang berbahasa Melayu. Untuk itu,
tema yang lebih global diperlukan untuk sayembara yang akan datang.
Katakan tidak sekiranya memang tiada yang layak untuk mendapat hadiah
pertama atau kedua. Bebarapa sayembara yang lalu telah meniadakan
pemenang pertama atau kedua kerana difikirkan tidak layak. Ini tidak
memalukan peserta atau penganjur tetapi akan mengahkan lagi dunia
sastera tanah air. Hanya pencapaian tertinggi sahaja yang layak
dinobatkan sebagai juara.
Saya suka membaca ulasan mengenai 4 kekuatan pemenang puisi. Menambah wawasan saya mengenai puisi.
ReplyDeleteSaya suka membaca ulasan mengenai 4 kekuatan pemenang puisi. Menambah wawasan saya mengenai puisi.
ReplyDelete