Sunday, June 19, 2011

MUHAMAD HAJI SALLEH - SI TANGGANG MODEN

Apabila kumpulan puisinya berjodol Sajak-Sajak Pendatang ( 1973 ) dan Buku Perjalanan Si Tanggang II ( 1975 ) diterbitkan, terasa ada bicara lain dalam dunia kepenyairan Malaysia ketika itu. Ini diikuti pula oleh Ini Juga Duniaku ( 1977 ) Sajak-Sajak Sejarah Melayu ( 1981 ) Dari Seberang Diri ( 1982 ) Kalau, Atau dan Maka ( 1988 ) dan Watak Tenggara ( 1993 ) Muhamad diakui memilih jalur lain untuk sampai ke puncak. Beliau memilih jalan ilmu dan intelektual.

Kekuatan Muhamad Haji Salleh dalam puisi terletak pada keupayaannya merakamkan kuasa dan peranan intelek. Muhamad membawa gagasan intelektual dalam puisinya. Hampir semua puisinya terletak pada ketajaman akal dan bukan didorong oleh emosi berlebihan. Kepadatan tersebut serta pengawalan emosi terlihat dalam beberapa buah puisi seperti ' Di Kubur Chairil ', ' Intelektual ' dalam kumpulan Sajak-Sajak Pendatang ( 1974 ) ' Pulang Si Tanggang ' dan ' Manusia ' dalam Buku Perjalanan Si Tanggang II ( 1975 ) Kesan penyuaraan dari puisi tersebut terasa di dalamnya perjuangan serta pengolahan antara perasaan dengan pemikiran. Oleh itu, Muhamad agak wajar dianggap sebagai penyair pertama Malaysia yang memanfaatkan sepenuhnya unsur pemikiran dalam puisi Melayu ( Dr. Norhayati Abdul Rahman. Fesbuk 24 Mei 2011 )

Sejarah petualangannya juga bergeser. Pernah menjawat beberapa jawatan akademik di luar negara. Antaranya Profesor Tamu di bawah rancangan Fulbright-Hays ( 1981-1982 ) menduduki Kerusi Tun Abdul Razak di Ohio University dan Kerusi Pengajian Melayu di Universiti Leiden ( 1993-1995 )  Pada tahun 1995, Universiti Kebangsaan Malaysia mengambil beliau sebagai Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu ( ATMA )

Muhamad Haji Salleh dilahirkan pada 26 Maret 1942 di Taiping, Perak, Malaysia. Didikan awalnya ialah di Sekolah Rendah Sungai Aceh, sebelum ke Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang dan Maktab Melayu Kuala Kangsar, Perak. Beliau juga pernah belajar di Sekolah Arab Masriyah, Bukit Mertajam dan Malayan Teater College, Brinsford Lodge, England pada tahun 1964. Pada tahun 1965, beliau memasuki University of Singapore dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastra ( 1977 )  Kemudian menyambung tugasnya di Jabatan Pengajian Inggeris, Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat Ijazah Sarjana Sastra ( 1970 )  Tahun berikutnya beliau ke University of Michigan, Ann Arbor, Amerika Serikat dan mendapat Ijazah Doktor Filsafat pada tahun 1974.

Beliau pernah dilantik menjadi dosen ( pensyarah ) dan Ketua Jabatan Pengajian Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris, Universiti Kebangsaan Malaysia ( 1970 )  Beliau juga menjadi ketua Jabatan Pengajian Melayu, UKM ( 1976-1977 ) dan gelaran profesor diterima pada 1978.

Melihat kembali jalur kreatifnya, Muhamad mula menulis sejak pengajiannya di Singapura. Beliau memenangi Peraduan Menulis rencana anjuran Utusan Kanak-Kanak Singapura. Ketika di Brinsford Lodge, Muhamad semakin serius menulis puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris untuk belutin Suara Brinsford.  Beliau mendapat asuhan menulis puisi dari D.J. Enright ketika di University of Singapore dan Robert Heyden ketika di Michigan.

Beliau mula serius menghasilkan puisi bahasa Melayu ketika bertugas sebagai Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia berbanding bahasa Inggeris sebelumnya. Sebagai seorang seniman akademik, Muhamad menghasilkan buku akademik seperti Tradition and Change in Comtenporary Malay-Indonesia ( 1977 ) Selections From Comtenporary Malaysia Poetry ( 1978 ) Pilihan Puisi Baru Malaysia-Indonesia ( 1980 ) Pengalaman Puisi ( 1984 )  Cermin Diri - Esei-Esei Kesusasteraan ( 1985 ) Puitika Melayu : Suatu Pertembungan ( 1989 ) Menyeberang Sejarah ( 1999 ) Muhamad diangkat menjadi Sasterawan Negara bagi negara Malaysia pada tahun 1991.

Saya mula mengenali beliau melalui bacaan puisinya, Bacaan Puisi-Puisi dari Malaysia ( Kaset, DBP, 1980 ) Beliau mendeklamasikan puisi Pulang Si Tanggang dan Ceritera Yang Ke Dua Puluh Enam. Jelas sekali Muhamad mengambil pletform sejarah, menyaring dan menginti-maknakan dengan penuh rasa sadar anak Melayu yang intelektual. Muhamad pernah mengatakan begini terhadap dirinya.

Takdir membawa saya ke jalan lain untuk pulang kepada kesusasteraan Melayu dan kesusasteraan Nusantara. Masyarakat Melayu yang terbiasa untuk ratusan tahun, dengan heirarki dan budaya feudal yang tegar jarang diberi tempat dan kebebasan. Kritikan hampir-hampir tidak ada sehingga akhir kurun ke 19. Pada tahun 1965, saya berpeluang menuntut ke University Singapore dan mengikuti kursus Kesusasteraan Inggeris, Filsafat dan Sains Politik. Guru-guru kesusasteraan Inggeris saya percaya landasan praktical criticism yang memaksa saya menulis kritikan tentang sesebuah sajak dalam waktu yang relatif singkat. Walau pun pada mulanya saya merasa benci tetapi akhirnya saya menikmati dan rasa menilai ( 1999 )

Didikan itulah barangkali kitaran yang dipunyai oleh Muhamad dari penyair seangkatannya yang lain. Muhamad justeru melihat dan mengkaji pelbagai aspek puisi di Nusantara untuk menemukan jati dirinya. Hingga puisi-puisi Muhamad semacam ledakan reformasi keilmuan tentang sifat dan makna Melayu.

Puisi yang sangat diingati ialah  Ceritera Yang Ke Dua Puluh Enam.

Dan segala anak Melayu
bagaimana besar dosanya
jangan sekali kamu bunuh
melainkan dosanya derhaka
kerana segala anak Melayu itu
tanahmu

Melayu itu tanahmu
bangsa dan negerimu
kamu besar dan raja padanya
laut dan pantai
di semenanjung ini
laut-laut Samudra dan Riau
Kedah dan Pahang
Kelang dan Muar
adalah air dan tanah bangsamu

Hormatilah orang berilmu
orang yang setia dengan bangsamu
betapapun tidak setujunya

Melayu hanya besar dengan kebebasan
bahawa mereka bebas dan besar
di pelabuhan kita di seluruh dunia bertemu
bahasa kita difikirkan
adat kita akarnya di sini

[ dipetik dari Bacaan Puisi-Puisi Dari Malaysia ( kaset DBP, 1980 )]


rujukan

1. Ensaiklopedia Sejarah dan Kebudayaan  Melayu ( DBP, 1994 )


Muhamad Haji Salleh dan A. Samad Said sedang melontarkan wacananya

No comments:

Post a Comment