Sunday, May 22, 2011

KADO INDAH KEKUATAN CINTA SASTRI BAKRY

Kado indah Kekuatan Cinta karya Sastri Bakry ini sangat indah saya rasakan. Pertamanya, kerana buku Kekuatan Cinta diberi kepada saya atas kekuatan silaturahmi seorang sahabat Sastri Bakry yang baik.  Kedua, sepanjang saya menikmati, membongkar isinya, saya sering ditemani pertanyaan-pertanyaan beliau dengan  kasih dan cinta. Pertanyaan yang mengharukan saya adalah kegirangannya ingin melihat dobrakan saya. Barangkali sebahagian insten saya telah mula dikenalinya, kerana saya bukan pemuja melulu. Persahabatan, perkenalan tidak membutakan saya untuk terus memuja seenaknya. Sekilas kritikan pedas juga saya lontarkan. Bukan bertujuan menghunjam, memusnah tetapi untuk mata pembaikan. Itulah persahabatan yang jujur, dan itulah persahabatan antara saya dengan Sastri, jarak Padang-Melaka tidak jauh, hanya sekelumit kata. Sangat bahagia.

 Kekuatan Cinta ( Penerbit Jakarta, 2010, 288 halaman ) adalah karya separa fiksi yang juga sebuah memoar. Jumlah persennya sebagai biografi/ autobiografi tidaklah dapat saya tentukan, kerana sebuah memoar masih menyimpan sedikit sebanyak rahsia personal. Hanya penulisnya bisa memberi data sebenar. Namun, kalau diurut biodata penulis dengan segala fabula dan syuzhetnya ( plot dan urutan cerita ) memanglah ia layak sebagai sebuah kisah benar. Barangkali untuk sebuah buku, masih tidak mengapa hal itu, tetapi untuk sebuah skenario film, yang butuh penonton datang ke bioskop, penandaan kisah benar itu harus difikirkan dengan keras.

Kisah dimulakan dengan kegentingan tali perkahwinan suami-isteri, Ara dan Sas. Perkahwinan blak-blakan begitu kerana Ara mengajar Sas musik, Sas dikahwinkan dengan Ara. Kelihatannya Ara seorang seniman yang tidak terlalu menjaga personalitinya. Pernah punya isteri, Tati dan masih punya pacar biarpun sudah menikahi Sas. Sebagai suami isteri mereka dikurniakan putri bernama Ranti Arastri. Sebagai suami, Ara pernah menyatakan sikapnya, " saya hanya ingin isteri yang biasa-biasa saja " Lantas sikapnya yang terus menjengkelkan Sas ialah apabila terungkap perkataan ini.
     " Ara, kamu sayang nggak padaku "
     " Ah, kamu ini ada-ada saja. Masa sama isteri sendiri tidak sayang? Sedang sama isteri orang lain saja sayang.. " ( hal. 27-28 ) Astagfirullah, ini rupanya. Ade atau Endah perempuan itu, isteri orang lain itu ( hal. 29 )
Porak peranda ini, mengadu Sas pada ayahnya, lantas ayahnya mengucap sedemikian.
     " Ini rahmat bagimu, mesti keputusan ini kamu ambil satu tahun setelah perkahwinanmu "
     Ujaran ayahnya tentang pembubaran perkahwinan Sas dengan Ara sangat menguja. Akhirnya, Sas dan Ara berpisah juga.

Selepas kembali membujang, Sas menerima beberapa lamaran tetapi semuanya ditolak dengan baik kerana kesakitan itu masih membekas. Tetapi tidak pada lamaran Da Yal atau namanya Fachrial Asjari, orang Sasak Pasaman yang besar di rantau. Dia hanya seorang PNS biasa di Departmen Kehakiman dan HAM Jakarta. Setelah 5 tahun menikah dan menikmati kebahagiaan yang luar biasa, Sas diuji dengan Da Yal mengidap penyakit yang bukan kepalang tanggung dan perlu dioperasi. Dan setelah menerima begitu hebat dugaannya. Da Yal meninggal dunia dengan Sas terkapai-kapai menerimanya. 5 tahun perkahwinan begitu terasa singkatnya oleh kerana rasa kebahagiaan. Ada beberapa eleman intelektual di mana Sas adalah wanita berkarya tinggi. Kepala Badan Pengawasan Daerah Kota Padang ( Badaswa ) Memang sukar menemukan wanita berprestasi tinggi di Malaysia yang menulis kreatif seperti Sastri. Hingga Sastri dapat membayangkan kehidupan seorang Bidaswa dalam lembaran karyanya. Memang ulah wanita berprestasi tinggi mendapat lelaki sebagai suami kerana pantang lelaki berbayang bayang isteri. Melainkan Da Yal yang berhati nabi. Jadi, memang satu keuntungan bagi pengamat sosial membaca karya Sastri ini. Itu pun kalau tidak mahu berprasangka berat.

Saya begitu tertarik dengan catatan Dr. Free Hearty yang mengatakan, " perempuan harus bicara. Suara perempuan adalah bukti otentik dari sebuah peristiwa, apalagi kalau perempuan itu mampu memprosentasikan dunia nyata ke dalam dunia kata. Dalam perspektif inilah novel ini menjadi sangat bermakna. "  Sudah tentu perempuan adalah kekuatan itu. Rata-rata dunia dibangun oleh kekuatan wanita, sedang lelaki hanya bisa menghancurkannya. Rata-ratanya begitulah. Cuma lelaki budiman yang diangkat Allah sebagai rasulnya pun kekuatan baginda dibelakangi oleh wanita. Bukankah Aminah, ibunya wanita terpelihara walaupun di zaman jahiliah, kemudian Halimatus Saadiah, ibu susuan nabi seorang wanita yang berakhlak tinggi. Kemudian Khadijah, seorang usahawan mulia isteri rasullullah yang berkah itu, saiyadatina Aishah isteri muda nabi, wanita muda yang bertata susila. Kemudian putrinya Saiyadatina Fatimah yang yang ikhlas dan mulia menjadi isteri pemuda harapan Rasullullah, Saiyadina Ali bin Abu Talib. Belum lagi kisah zuhud Rabiatul Adawiyah dan Putri Balkish yang punya kerajaan besar tunduk sujud pada kebenaran Illahi Nabi Sulaiman.

Perempuan juga adalah punca  nelangsanya lelaki. Di belakang kekuatan lelaki adalah wanita dan begitu juga di sebalik terperosoknya lelaki. Siapa di belakang terperosoknya Bill Clinton? Siapa di belakang kekuatan Anwar Ibrahim? Semuanya wanita. Begitu juga siapa di sebalik terkeluarnya Adam dari surga? Dan terpenjaranya Nabi Yusuf dalam kisah terpukau nafsu isteri raja. Banyak lagi kisah hitam putih wanita misalnya isteri Firaun, Asiah dan isteri Nabi Noh yang ditenggelamkan bah besar. Dan karektor ini menyulami kisah titik bengik dalam kehidupan rumah tangga di mana saja.

Apabila Sas dimusnahkan jiwa cintanya oleh lelaki Ara, Da Yal membangunkan semula dengan penuh ceria. Lelaki wanita tidak selamanya dalam kado hitam putih yang suram dan kelam.

Sebagai sebuah memoar, Kekuatan Cinta tidak menurut jalur plot penulisan kreatif sebuah karya fiksi. Misalnya, kalau sebuah fiksi runtutan seterusnya adalah puncak klimaks hingga menandaskan mana-mana yang tidak penting. Tetapi dalam memaor ini, ada bagian-bagian yang kelihatan lari dari persoalan seperti memperincikan kisah-kisah poligami Aa Gym, kisah terpuruknya sistem hospital dan kisah-kisah kesibukan Sas sebagai DPRD. Sepatutnya hal-hal sedemikian sebagai sepele yang berlalu sejalur imbas dalam trauma kewanitaan menunggu detik-detik kematian suami. Sekiranya ia dapat diperhalusi, saya kira perjalanan plot yang lebih mulus dan lancar menuju klimaks dapat dibena.

Seperti kata Sas, sekalipun Ara lelaki hebat, bisa membangkitkan nafsu berahinya, tetapi trauma itu mengeringkan lembah kewanitaannya, sehingga Sas tidak merasakan apa-apa. Tapi bagi Ara, ia puas banget kerana kekeringan lembah itu menyebabkan taman yang diterokainya seperti baru sekali dipugar dan begitu segar. Begitu juga dengan Kehangatan Cinta, bagi penulisnya, ia puas banget kerana dapat meluahkan semua sesak di dadanya tetapi sang pembaca digiring ke lembah-lembah yang tak perlu baginya. Kerana tumpuannya hanya kepada klimaks kenikmatan pembacaan.

Sebagai sebuah karya yang sederhana, suatu bingkas bangun manusia, Kekuatan Cinta tidak begitu rugi membacanya. Tetapi tidak begitu untung meninggalkannya kerana masih bisa dikutip kenang-kenangan bagai menampi mutiara di celah kerikil yang bertaburan.

No comments:

Post a Comment