Thursday, February 6, 2014

AKU, ROSMIATY DAN FATIMAH BUSU

 

 
Fatimah Busu diingati orang kerana novelnya Ombak Bukan Biru. Sebelumnya cerpen-cerpen Fatimah seperti Nasinya Tumpah, Anak-Anak Dari Kampung Pasir Pekan, Lambaian Tanah Hijau telah banyak diperkatakan. Namun, aku ketika diinterview oleh Fatimah Busu di Wisma Persekutuan, Jalan Gurney, Kuala Lumpur untuk ke Rancangan Seni Kreatif di USM, tidak mengenali Fatimah seutuhnya. Sebagai seorang penulis, saya kenal tetapi karya-karya saya tidak berapa arif. Saya bukanlah seperti Talib Y.K, atau Rosli K. Matari yang memang peminat tegar kesusasteraan dan telah menghasilkan banyak karya di Dewan Sastera dan majalah dewan yang lain.

Setelah aku sampai di USM, Fatimah Busu menjadi orang harapan saya. Ini kerana seorang pegawai KKBS, Encik Zainal Abidin Mahmud telah menitipkan saya kepada Fatimah. Barangkali titipan itu kerana beliau tahu latar belakang diri saya yang dikenalinya ketika saya melaporkan diri untuk ke USM. Dengan itu saya agak akrab dengan Fatimah. Apabila masuk ke kelas Penulisan Kreatif I ( cerpen dan puisi ) saya antara pelajar yang belum pernah menghasilkan sebarang cerpen. Dan apabila diberi tugasan menulis cerpen, sayalah orangnya yang terkial-kial menyiapkan cerpen. Berbanding dengan Talib Y.K yang telah mahir dengan cerpen kerana telah menghasilkan banyak cerpen malah telah punya sebuah kumpulan cerpen iaitu Keinginan terbitan Heinnemen International. Namun untuk memenuhi syarat pembelajaran, sebuah cerpen mesti disiapkan juga.

Dalam kelasnya, Fatimah banyak memberi contoh karya-karya sendiri. Berbeza dengan cikgu Shahnon, cara pengajaran Fatimah seperti seorang guru. Beliau berdiri di sebelah meja dan kerusi duduknya berhadapan papan hijau, menggawang-gawangkan tangannya dengan penuh kearifan dan kesungguhan. Shahnon Ahmad, tidak. beliau hanya duduk di kerusi kemudian bercakap gaya ayah-ayah bercakap dengan anaknya. Tidak sedikit pun menunjukkan gaya seorang guru. Cara ajarannya, selorohnya, tawanya, gaya seorang yang sedang berbual. Kerana Fatimah sering memberi contoh karya-karyanya sendiri, ada di antara para pelajar senior yang mula membuat provokasi. Antaranya menyatakan bahawa cerpen-cerpen seperti Freshie, Surat Dari Minden, Mawar Yang Belum Gugur dan lain-lain itu adalah kisah peribadinya sendiri. Saya tidak berapa ingat bentuk provokasi sehingga Fatimah berkecil hati. Akibatnya, Fatimah membaikot kelas kami. Untuk itu, para senior mengutuskan saya untuk memujuk dan meminta maaf kepada Fatimah di dalam biliknya. Dan Fatimah mengatakan kepada saya, sepanjang beliau mengajar di USM, kelas saya inilah yang paling provokatif sehingga hati kecilnya tersinggung. Namun, bukanlah saya yang dimaksudkan, kerana saya antara yang paling tukmaninah dan ' paling buta sastera ' di kalangan mereka.

Dalam kelas ini, pelajar tidak semua disyaratkan menulis cerpen sebagai assignmen. Rosli K. Matari menulis puisi. Kerana itulah kemahiran. Saya antara yang menulis cerpen bersama Talib Y.K, dan beberapa orang lain. Entah memang ya atau tidak, markah untuk assigmen 1 cerpen, saya mendapat B plus berbanding Talib Y.K, yang mendapat markah C. Tentu untuk saya secara peribadi sangat terkejut kerana Talib penulis cerpen yang unggul dan saya baru inilah kali pertama menghasilkan cerpen. Talib sendiri tidak berpuas hati dengan keputusan Fatimah yang menjadi gurunya sekarang yang selama ini adalah teman taulannya dalam dunia penulisan cerpen. Malah kedua-duanya berasal dari Kelantan. Walau apa pun natijahnya, keputusan B plus itu sendiri menyuntik moral sesungguhnya saya juga boleh menulis cerpen.

Kalau diulang balik pemergian saya ke USM, ialah pada 1 Ramadhan. Ini bermakna sebulan kemudian akan menyambut hari raya. Dalam sibuk-sibuk menghadiri kelas dan puasa, saya tak lupa membeli kad raya untuk saudara mara di kampung yang menyatakan saya berada di Pulau Pinang. Saya tidaklah mengatakan berada di USM, namun kad hari raya dengan logo USM akan memaklumkan saya berada di USM. Bagi mereka yang tidak tahu saya di USM, mereka pun bertanya-tanya. Buat apa saya di USM. Antara yang saya kirimkan kad raya ialah seorang sahabat di kampung iaitu Siti Asiah Samsi dan seorang rakan interview yang gagal memasuki USM sesi itu iaitu Mia S. Mia S telah saya baca cerpen-cerpennya dan saya menyangka beliau seorang penulis lelaki yang telah mencipta nama. Bertemu ketika interview itulah, saya mengetahui bahawa Mia S itu nama pena kepada Rosmiaty Shaari, seorang gadis yang kecil molek. Beliau berasal dari Teluk Intan, Perak.

Balasan kad-kad raya mengubati kesunyian saya di perantauan. Kepada Rosmiaty Shaari, saya memberi harapan bahawa satu masa nanti, beliau juga akan ke USM. Dan kepadanya saya memberi gambaran bagaimana belajar di universiti ini. Setelah 4 bulan mengaji di USM, percutian semester pada pertengahan November, saya balik ke kampung dan seterusnya berziarah teman-teman di Persatuan Seri Kayangan Kelang di mana dulu saya pernah aktif di dalamnya. Bersama teman-teman persatuan, kami membuat perkelahan budaya di pantai Morib. Morib ketika itu merupakan pantai yang sangat popular untuk negeri Selangor dan sekitarnya. Banyak acara sastera diadakan di situ. Antaranya pertemuan puisi di mana Usman Awang dan penyair-penyair besar tanah air turut terlibat. Saya masih ingat Ami Masra menggiat saya, " ini bakal penulis besar... " hatta kerana saya belajar di USM.

Selepas habis cuti semester, saya kembali ke USM dengan tugasan-tugasan yang lebih berat. Cikgu Shahnon memberi tugasan untuk menulis novel. Saya dan Talib Y.K, sekali lagi menyanggupi untuk menulis novel sebagai assignmen. Rosli K. Matari menulis kumpulan puisi. Sharipah Abu Salem dan Jahara Alias memilih untuk menulis kumpulan cerpen. Orang tentu tidak menyangka bahawa saya sanggup membuat novel untuk assigmen kerana menulis cerpen pun terkial-kial. Cikgu pun memanggil kami untuk membincangkan tema assigmen masing-masing dan memberi isi-isi penting sebagai menambah baik idea awal kami. Saya menulis novel dengan judul ' Anak Bumi Tercinta ' mengisahkan zaman pemerintah Jepun. Novel ini dapat disiapkan dan kemudian diterbitkan oleh Marwilis Publisher dengan judul ' Di Mana Bumi Dipijak ' kerana judul ' Anak Bumi Tercinta ' pernah digunakan oleh Fatimah Busu sebagai judul kumpulan cerpennya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Entah kenapa di akhir-akhir pengajian, saya dan Fatimah Busu tidak banyak beraktiviti. Berbanding dengan cikgu Shahnon, saya melakukan hal-hal yang di luar bidang kami sebagai penuntut seni kreatif. Ini agaknya kerana pelibatan saya dalam penggambaran dokumentasi Ranjau Sepanjang Jalan dan rumah cikgu di Cangkat Minden yang sering kali kami ulang alik. Namun hubungan saya dengan Fatimah Busu kembali semarak di tahun-tahun berikutnya apabila pada tahun 1983 Rosmiaty memasuki USM. Kerana saya gentleman USM yang penuh pengalaman, saya mengiringi dan memastikan Rosmiaty selesa di USM dengan mengenalkannya kepada cikgu Shahnon dan Fatimah Busu. Inilah yang menjadikan saya dan Rosmiaty Shaari kemudiannya menjadi kesayangan Fatimah Busu dan cikgu Shahnon hinggalah kepada keputusan kami untuk berumahtangga...

No comments:

Post a Comment