Sunday, May 22, 2011

SISI LAIN ZAIHASRA

Berpulangnya Zaihasra pada 22 November 1989, dalam usia 38 tahun, adalah pemergian dan kehilangan yang sangat dirasai oleh sebilangan besar pecinta sastra di Malaysia. Kelunakan dan kemahirannya berpuisi, menyebabkan Zaihasra dikelaskan dalam kelompoknya sendiri. Sebagai deklamator, beliau sangat mementingkan perasaan. Hingga setiap butir kata yang lungsur dari tenggorokannya sangat menghiris dan meresap ke dalam batin pendengarnya. Sebagai penulis, puisi-puisinya telah mendapat pelbagai hadiah. Pada tahun 1973, 1974, 1975, beliau telah memenangi Hadiah Karya Sastra sementara 1984/85 dan 1986/87 memenangi Hadiah Karya Sastra Malaysia.

Dilahirkan pada 28 Februari 1951 di Kampung Sungai Buluh, Alor Gajah, Melaka, Malaysia dengan nama Zaiton @ Noor Zaiton binti Ketot @ Abdullah. Pendidikannya sehingga Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) dan mulai menulis pada tahun 1970an lagi. Puisi pertamanya, Mama tersiar di Dewan Sastra ( 1971 ) yang kemudiannya diikut muat dalam akhbar dan majalah Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Berita Minggu, Mastika dan Mingguan Malaysia. Beliau  berhasil membuat tiga kumpulan puisi iaitu Dalam Perjalanan Satu ( DBP,1977 ) Dalam Perjalanan Dua ( stenselan, 1977 ) Dalam Perjalanan Tiga ( Abbas Bandung, 1987 ) dan Balada Tun Fatimah (  Syarikat Jingga, 1987 ) serta Laut, Pohon dan Kota ( 1988 ) Akuarium Kota ( bersama Siti Zainon Ismail, 1988 ) Gema Membelah Gema, Titian Zaman dan Bacaan Puisi-Puisi Dari Malaysia dalam bentuk tali pita ( kaset ) ( DBP. 1980 ) Dalam kaset tersebut, Zaihasra membacakan puisi Suatu Senja Aku Berlari Di Sini, Menanti Keretapi Tiba, Tetapi Dia Telah Pergi. Puisi tersebut tersenarai sebagai ' puisi berhantu ' hingga menjadi kegemaran peminat-peminat puisi tanahair.

Zaihasra pernah bertugas sebagai penerbit Rancangan Sastra di Radio Malaysia suatu ketika dulu dan merupakan ruangan yang dinanti-nantikan oleh para pendengarnya. Rancangan ini ke udara setiap hari Rabu malam jam 8.30 ini akan dikumandangkan dengan suara  beliau yang serak-serak basah, menarik ribuan pendengar menunggu di corong-corong radio. Dengan berita dan kegiatan sastra di selang seli dengan bacaan puisi oleh beliau, sastra menjadi medium paling berkembang dan diminati. Radio Malaysia harus mengembalikan rancangan tersebut ketika ini dengan mempertimbangkan hostnya Mariamah Tijo, istri kepada sasterawan dan dramawan Othman Haji Zainuddin. Puisi-puisi Zaihasra pernah digubah oleh kompuser terkenal, Johari Salleh, Bob Khalil dan A.R. Ismail. Bersama temannya Maisara, beliau mengusahakan Syarikat Jitu Sdn. Bhd. yang mengusahakan lanskaping. Beliau pernah menjadi istri sasterawan dan penyair terkenal Jaafar Husin @ Jaafa H.S. pegawai bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur sebelum bercerai.

Topik yang dipaparkan oleh Zaihasra adalah berkaitan dengan perasaan wanita seperti pengalaman, kerinduan, harapan, kekecewaan dan kesabaran dari dalam diri penyair tersebut sembari penghayatannya sangat mendalam. Dalam period 1972-1982, Zaihasra seakan berada dalam dunia escapisme di mana pelarian menjadi tema utamanya. Kemudian beliau menuju kepada keabadian sejarah bila mana menampilkan puisi panjang Balada Tun Fatimah ( 1987 ) sebuah kumpulan puisi yang diajukan untuk Hadiah Puisi Putra 1984. Menjelang hari-hari terakhirnya, puisi-puisi beliau mengarah kepada ketuhanan. Dalam rangkap terakhir sajak Perjalanan, beliau menulis begini;

Aku berdiri di tengahnya
melihat keindahan yang tersembunyi
bagai mutiara yang hidup dalam lokannya
melontarkan suara buat kekasih
mendekat, dan semakin mendekat
bila didekati

Dan tidaklah aku pelarian lagi
- ketika telah kudekati kau
menyatu tanpa ragu dan alpa
Kekasihku

( Mastika, Januari 1990. hal. 38 )

Puisi ini tersiar selepas kematiannya. Sebelumnya, dalam kebanyakkan puisinya disentuh tentang Pelarian, Zaihasra mengumpulkannya dalam Pelarian Satu, Pelarian Dua, Pelarian Tiga, Pelarian Empat ( sebuah novel terbitan Tra-Tra Publishing ) Beliau dilihat mencari sesuatu dalam pelarian tersebut. Dalam satu kata pengantarnya, beliau menulis, " sebagai manusia yang amat perasa terhadap pengaruh alam di sekelilingnya malah kehidupannya sendiri, seniman adalah manusia yang tidak lupa untuk mencatatkan apa yang dirasai dan dilihatnya. Dan di dalam usaha untuk mendewasakan diri serta pengalamannya, manusia harus berani memberi erti pada hidupnya sendiri ( Dalam Pelarian Satu, DBP, 1971 )

Dalam pencariannya, Zaihasra memercikkan representif dunia wanitanya yang rata-rata mengeksploitasi masalah cinta, kesetiaan, keindahan dan kesepian serta konflik antara pemikiran dan perasaan ( Darwis Harahap, Berita Minggu, 12 Januari 1993 ) rata-rata puisinya ke arah itu seperti Lautan Waktu Subuh, Di Sini Waktu Yang Luka, Sebuah Cinta Semakin Ungu ( DSWYLSCSU ) dan sajak panjang Suatu Senja Aku Berlari di Sini, Menanti Keretapi  Tiba, Tetapi Dia Telah Pergi.

Dalam bait-baitnya Zaihasra merayu;

Lewat usia kini menemukan
alam dalam bentuk seginya
bersuara
Aku kian jauh
melampui beku masa lalu
di sini sarat-sarat keyakinan
menyatakan kewujudan

( DSWYLSCSU )

Dalam Perjalanan, Zaihasra menulis;

Kutatap bulan pagi
dan kupeluk cahayanya
ada rindu yang terbakar
di celah bukit pasir ini

Mengenang Zaihasra adalah menganyam bilah-bilah sembilu yang menghiris-hiris hati dan perasaan. Jasad yang disemadikan di tanah perkuburan  Taman Greenwood, Gombak, Kuala Lumpur kerana sakit buah pinggang ini, selamanya abadi dalam kenangan.

2 comments:

  1. Sumbagan mu untuk negara akan dikenang buat selamanya...peminat RAZAK

    ReplyDelete
  2. Siapa ada lirik sajak suatu senja aku berlari di sini menanti Keretapi tiba tapi dia telah pergi. Tolong add kat sini.

    ReplyDelete