Thursday, February 6, 2014

AKU, ROSMIATY DAN CIKGU SHAHNON ( BAHAGIAN 1)

 Bukan mudah untuk mengingati kisah-kisah lama yang telah menjangkau 30 tahun lalu. Seingat aku, sekitar bulan Mac 1982, aku dipanggil interview untuk memasuki Rancangan Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Interview itu dilakukan di tingkat 30, Wisma Persekutuan, Jalan Gurney, Kuala Lumpur yang menempatkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Ketika interview itu, aku diketemukan teman-teman antara lain yang saya masih ingat ialah Rosli K. Matari, Talib Y.K, Rosmiaty Shaari, Sharipah Abu Salem, Cik Yam Muhammad, Jahara Alias, Mustaffa Marican, Muhammad ( yang kami panggil Nong Pai ) dan lain-lain. Yang menginterview aku ialah Fatimah Busu dari USM, Pulau Pinang, Sufiat Mukri dari KKBS dan seorang lain dari bahagian JPA Kementerian Pelajaran. Dalam interview itu, Fatimah Busu paling banyak menanyakan soalan berkaitan sastera. Mengenai karya Shahnon Ahmad dan karya-karya penulis lain. Aku agak kelabu untuk menjawabnya. Lepas beberapa bulan kemudian, aku antara yang dikehendaki melaporkan diri untuk Pengajian Seni Kreatif 1982/83 di Universiti Sains Malaysia.

Tanggal 21 Jun 1982 bersamaan 1 Ramadhan saya menaiki bas jam 8.30 malam dari Puduraya Kuala Lumpur ke Butterworth untuk melaporkan diri pada keesokan harinya. Dengan berbekalkan epal dan air kotak, aku bersahur di dalam bas. Jam 4.45 pagi, aku sampai di Butterworth, Seberang Prai. Mulalah pertualanganku ke Pulau Pinang. Dengan menaiki feri yang kutunggu sejak jam 6.00 pagi tiada sebuah feri pun ke Pulau Pinang melainkan ke pulau-pulau yang aku sudah lupa namanya. Hinggalah seseorang mengatakan bahawa semua feri itu menuju Pulau Pinang.

Di dalam feri, kutemukan seorang teman yang mengatakan tujuannya yang sama ke Pulau Pinang malah ke USM untuk Pengajian Pendidikan. Rupanya kami dalam rancangan yang sama, cuma dibedakan oleh Seni Kreatif dan Seni Pendidikan. Dengan sebuah teksi yang dicatar, kami pun sampai ke Minden, pusat ilmu yang gah itu. Lalu kami pun mendaftarkan diri di bangunan cencelari USM kira-kira jam 10.00 pagi. Wakil dari KKBS ialah Encik Zainal Abidin Mahmud.

Selepas mendaftarkan diri, mulalah kami diberikan jadual kelas. Pengantar Kesusasteraan adalah wajib bagi setiap pelajar baru. Di kelas itulah kami dikenalkan dengan asas sastera Melayu dan dunia. Teman-temanku dalam kelas itu adalah Talib Y.K, Sharipah Abu Salem, Rosli K. Matari, Cik Yam Muhamad, Jahara Alias, Mahadee J. Murat, Wan Hanafi Su, Ridhwan Daud dan beberapa yang lain. Dan di sinilah mulai aku mengenali Fatimah Busu. Fatimah Busu mengenalkan kami dengan penulisan cerpen. Ali Haji Ahmad melalui penulisan puisi dan Shahnon Ahmad dalam penulisan novel. Manakala Pak M.S. Hutagalong dalam Pengantar Kritikan Modern. Antara mereka, Fatimah Busu, Shahnon Ahmad dan M.S. Hutagalonglah yang paling berkesan dalam jiwaku sebagai seorang pelajar. Fatimah Busu mengenalkanku dengan cerpen-cerpen dunia, Indonesia serta cerpen-cerpennya sendiri dalam kumpulan Bumi Hijau dan Anak Bumi Tercinta. Maka kami pun mengenal akan cerpen Nasinya Tumpah, Anak-Anak Dari Kampung Pasir Pekan dan cerpen-cerpen awal Fatimah Busu. Kemudian apabila kami diperkenalkan cerpen-cerpen tahab 2 Fatimah Busu seperti Surat Dari Minden, Frishie, Mawar Yang Belum Gugur  dan lain-lain yang seakan menceritakan dirinya di usia remaja dan pelajar di USM, kami semakin mengenali Fatimah Busu yang sebenar. Malah pernah terjadi peristiwa yang menyinggung perasaan Fatimah Busu sehingga beliau merajuk untuk datang ke kelas kami. Aku menjadi wakil pelajar yang mengetuk pintu pejabatnya untuk meminta maaf bagi rakan-rakan pelajar. Di situlah aku rasa hubungan peribadiku dengan Fatimah semakin erat.

Kelas Cikgu Shahnon mendatangkan keseronokan yang luar biasa. Pengalaman menjadi murid kepada Cikgu Shahnon, kami seakan bukan belajar tetapi seakan berada dalam studi group. Kami dan Cikgu Shahnon berbincang tentang novel-novel cikgu yang lalu. Merancang untuk menulis novel sebagai salah satu assignment yang harus dibuat. Cikgu membentangkan cerpen Kelapa Nan Sebatang, Kalau Ibu Sampai Takat Tiga, novel Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan dan Sampah. Selain itu, ketika itu cikgu Shahnon sedang berpolemik dengan Kassim Ahmad mengenai Sastera Islam yang disiarkan di Dewan Sastera. Cikgu meminta pendapat kami bagaimana untuk membalas hujah Kassim Ahmad seterusnya. Dan kami pun memberi idea keanak-anakan untuk cikgu.

Kassim Ahmad baru sahaja dibebaskan dari tahanan ISA. Beliau diberi prasyarat untuk menjadi manusia bebas sekiranya beliau keluar dari ideologi sosialistnya dan akan ditawarkan sebagai pensyarah di USM dengan kebebasan mutlak. Tapi Kassim Ahmad menolak tawaran tersebut. Jadilah Kassim Ahmad manusia yang setengah bebas dengan melaporkan diri setiap bulan di Balai Polis Bukit Gelugor. Saya yang menghuni perpustakaan USM, sering berpapasan dengan Kassim Ahmad yang sedang menelaah timbunan buku-buku untuk membalas polemik dengan cikgu Shahnon. Ini kerana Kassim Ahmad dilarang untuk membawa keluar buku-buku dari perpustakaan kerana sifatnya yang tidak bebas itu. Kalau Kassim seorang yang bebas, beliau akan mendapat kemudahan membawa buku keluar dari perpustakaan USM. Di sinilah saya seakan bertindak sebagai spy atau mata-mata kepada cikgu Shahnon tentang kegiatan Kassim Ahmad dengan timbunan buku untuk berdebat dengan Shahnon mengenai sastera Islam.

Cikgu ketika itu merangkap Pengarah Balai Islam USM. Jadi kegiatan keagamaan di USM adalah di bawah tanggungan Cikgu juga. Rumah Cikgu di Cangkat Minden menjadi tumpuan saya. Saya sering berulang alik ke rumah cikgu. Beberapa waktu selepas itu, cikgu bukan saja cikgu kepada kami pelajar-pelajar seni kreatif tetapi jauh lebih dari itu menjadi teman dan rakan. Jamil Sulong ketika itu menjadi Penulis Tamu di USM. Salah satu tugasnya ialah menjadi Sutradara kepada filem Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad. Kebetulan Mahadee J. Murat merupakan seorang kameraman di TV Pendidikan sebelum memasuki Seni Kreatif. Dengan kemahiran beliau dalam filem dan penggambaran filem dokumentari, aku, Mahadee dan Ridhwan Daud dengan peralatan video USM menjadi duta kepada Shahnon Ahmad untuk mendokumentarikan perjalanan penggambaran filem Ranjau Sepanjang Jalan di Kampung Banggol Derdap, Sik, Kedah. Kami berempat menaiki sebuah kereta untuk ke sana. Sampai di sana, kami singgah di sebuah kedai makan yang sesak dengan pelanggan. Terdapat sebuah kereta jenis Opel Kedet bernombor pendaftaran BAS. Nombor ini aku ingati kerana Rosli K. Matari secara lelucon berseloroh, ini kereta atau bas. Merujuk nombor plet kereta iaitu BAS. Rupanya kereta itu milik Yusof Majid, suami seniwati Sarimah, heroin filem Ranjau Sepanjang Jalan. Namun kedatangan kami, tidak pula ada penggambaran filem tetapi terdengar desas desus beberapa peristiwa aneh yang dialami oleh para pelakon. Antaranya ada pelita berjalan di tengah-tengah sawah tempat mereka melakukan penggambaran dan gangguan-gangguan lain kepada para pelakon. Hal-hal yang sedemikianlah yang kami laporkan kepada cikgu mengenai Ranjau Sepanjang Jalan. Malah cikgu mengakui, beliau kurang berkenan dengan beberapa olahan dalam filem tersebut yang sedikit tersasar dari novel Ranjau Sepanjang Jalan. Namun semuanya itu telah menjadi asam garam dalam pembuatan filem berdasarkan adaptasi karya sastera terutamanya novel.

Ketika saya berulang alik ke rumah cikgu Shahnon dalam acara melaporkan tentang dokumentari tersebut, saya dapati Fatimah Busu juga sering bergegas ke rumah cikgu. Kami terserempak Fatimah Busu namun tidak mahu mengambil tahu banyak tentang urusannya. Mungkin itu urusan peribadinya. Kemudian, barulah kami tahu bahawa Fatimah Busu berulang alik ke rumah cikgu kerana urusan perkahwinan Fatimah dengan calon suaminya, Rosli seorang konstebal polis. Itu tidak kami hayati hinggalah Fatimah mempunyai seorang anak bernama Aidil. Aidil ini beberapa kali keluar sebagai watak penting dalam karya-karya Fatimah Busu seterusnya. Ketika ini cikgu punya anak murid yang mengakrapi cikgu dan sering kali menjadi pemandu kepada kereta wolksegen cikgu iaitu Mustaffa Marican. Mustaffalah yang menjaga cikgu kalau cikgu ke mana-mana hatta ke Kuala Lumpur sekalipun.

( bersambung )

No comments:

Post a Comment