Yuda ( Zaen Kasturi, DBP 1992 ) merupakan kumpulan 17 cerpen. Cerpen tersebut ialah Warna Katarsis,Taman Uzlah, Bukan Agitasi Bandel, Pertarungan Kedua, Gua Zuhud, Merpalang, Pertemuan Sukma, Nurzina, Detak Arloji, Sat Malangkaii, Mafatih Nur, Kinanti, Warawiri, Kata, Menyadap Madu Bunga Tongkeng, Musim Yuda dan 777.
Kumpulan ini menonjolkan pemikiran dan permasalah kehidupan kumpulan sasarannya. Yuda menerapkan teknik penceritaan aliran kesedaran dan bawah sedar. Pengungkapan persoalan melalui pemikiran, khayalan dan ilusi muncul dalam watak-watak utama dan watak-watak ilusif. Kebanyakkannya menonjolkan watak konkrit yang tunggal, iaitu berkomunikasi dengan diri atau mata batinnya. Zaen dikatakan telah melakukan penyimpangan yang akstrem serta membentuk karya metafiction dari jurus bahasa, latar dan perwatakan.
Mengikut strukturalisme puitik Roman Jakobson, perkembangan hasil wawasan semiotik estatik, mahupun pascastrukturalisme, membuat Jakobson melihat karya sastra harus memiliki unsur dalam dan luar diri. Unsur tersebut tersemat dalam ras, lingkungan dan zaman. Dalam Warna Katarsis ( hal. 1 ) Zaen menulis, Alangkah sukarnya melakarkan wajah sendiri di hamparan kanvas yang kaku dan bisu itu. Meletakkan ke hamparannya bermakna aku telah menodai keputihannya. Kanvas yang sememangnya kaku itu seakan bergerak-gerak meminta nyawa. Jika diperhalusi lebih jauh hakikat bahasa dalam pengucapan kreatif, makna harfiahnya harus dirujuk maksud ikonik mahupun maksud tersirat. Melukis wajah dalam kanvas bukannya maksud tersurat Zaen Kasturi. Beliau hanya memindahkan gejolak batinnya ke dalam dunia artifisal yang mudah dibaca oleh masyarakat. Zaen tidak bercerita ( to tell ) tetapi lebih kepada melontarkan persoalan. Ini dapat dirumus dalam frasa ini, Benar sekali, sahabatku. Sang pelukis hanya manusia galau yang hanyut mencari makna kewujudannya sendiri ( hal. 7 )
Bagi penulis yang kerap memindahkan luar dan dalam dirinya, membahagikan diolog dan monolog dalam situasi yang dipilihnya. Zaen dalam soal ini berjaya membagikan hal tersebut. Dalam cerpen Bukan Agitasi Bandel ( hal. 22 ) Zaen menulis begini, Ah! kekasihku, senyummu menggoda aku untuk membunuh diri. Akan kulakukan kali ini tanpa sebarang rasa kesal. Akan kubunuh diriku untuk kutumbuhkan kemanusiaanku yang baru. Bukankah itu hakikat kewujudanku? Akan kucincang diriku yang lama ini dengan belati Kasih. Akan kupupuk diriku yang baru itu dengan sepuhan Cinta ( hal. 23 )
Monolog dalaman ( sebagai salah satu cara merakamkan aliran kesadaran ) adalah percakapan seseorang watak dibuat untuk memperkenalkan secara langsung kepada kita kehidupan dalaman watak itu, tanpa gangguan penulisnya. Ia menyatakan fikiran yang paling peribadi, yang paling dekat dengan bawah sedar... ia mengeluarkan kembali dalam bentuknya yang asli dan seperti ia datang dalam fikiran, tanpa urutan yang logik ( Edel, 1961: 53-4 )
Beberapa simbol telah digunakan oleh Zaen dalam cerpen ini antaranya kekasihku, senyummu, belati Kasih dan sepuhan Cinta. Hampray ( 1954: 113 ) menyatakan, melihat kembali zaman eksperimen ( monolog dalaman ) dengan kelihatan terlepas daripada beban dan pernyataan, sedikit ragu bahawa eksperimen ( monolog dalaman ) telah menghasilkan beberapa ( karya ) sastra yang unggul abad ini tidak menghargai seluruh kepentingan gerakan ( sastra ) ini.
Zaen cenderung bermonolog. Ada keserasian beliau dengan teknik ini. Barangkali cara mengahwinkan aliran kesadaran dengan bawah sadar dapat ' membaling dua burung dengan satu batu ' Dalam cerpen Sat Malangkaii ( hal. 160 ) Zaen mengangkatnya dari Tuhfat al-Nafis tentang Raja Haji. Tulisnya, maka pada malam itu keluarlah memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah almarhum Raja Haji itu, maka gaduhlah orang Melaka melihatkan hal itu, maka dalam tengah-tengah bergaduh itu, maka kapal meletuplah, terbang segala isinya serta orang-orangnya seorang pun tiada yang lepas. Syahdan kata kaul yang mutawatir itu tiadalah jadi dibawanya jenazah almarhum Raja Haji itu pindah ke negeri yang lain, maka ditanamnyalah juga di Melaka itu hingga datang diambil dari Riau itu adanya. Syahdan kata kaul yang mutawatir maka sebab itulah digelar oleh Holanda-Holanda yang dahulu dengan nama ' Raja Api.. ' ( hal. 101 ) Ini adalah gerakan monolognya. Dalam cerita realnya, ia diwataki oleh Sat Malangkaii. Ia ditulis seperti ini, Bergegaslah Sat Malangkaii mendayung penjajapannya bagai licik ular air, menuju ke Teluk Ketapang Tanjung Palas, setelah menerima alamat. Yang Dipertua Muda Raja Haji rebah tuntas terkena peluru senapan askar Holanda - anak-anak buah Raja Laut Pieter Jacob van Braam. ( Seperti dinampakkannya Raja Haji kembali bangkit menghunus badik, tangan kirinya pula masih erat menggenggam dalai il khairat )
Dalam catatan di atas, saya ambil dua posisi beda iaitu cerita yang dimafhumkan dalam Tuhfat al-Nafis dengan cerita yang diprolog oleh penulis cerita Zaen Kasturi. Cerita dari Tuhfat nyata diperlihatkan untuk sebuah sejarah tetapi pandangan penulis saya anggap sebagai sudut pandangan kosong, iaitu pencerita mengurangi tugasnya sebagai pencerita menjadi sebagai saksi dan suara pengiring sahaja: dia memilih tidak akan mengemukakan kehidupan batiniahnya sama sekali. Paling sedikit tidak secara langsung, Jika dia tidak mahu menjadi saksi pun, dia akan menjadi hanya suara pengiring, setelah menyimpulkan bagi pemerian yang disimpulkan oleh semua orang. Kumpulan cereka ini mengakhiri sejarah cereka, kerana keluar dari sini adalah meninggalkan dunia sejarah peribadi dan masuk ke dunia sejarah masyarakat - ringkasan daripada ringkasan. Cerita ini lebih menyerupai dongeng, lagenda dan mitos, yang biasanya menggelakkan sudut pandangan watak dan kehidupan batiniah ( Moffet dan McElheny, 1966:521 )
Zaen membawa pembacanya ke dunia surealism yang tanpa batas. Watak-wataknya begitu bebas bergerak bermain dan mengembara ke mana sahaja; kealam sejagat atau sebuah dunia mungkin yang lebih bahagia atau lebih celaka ( A. Rahim Abdullah, 2011:35 ) Mengapa saya memilih karya-karya non-konvensional yang kadang-kadang membuang masa pembaca dan tidak membantu ke arah kecemerlangan kesusastraan tanahair ( kata sesetengah khalayak ) saya tidak menolak karya-karya konvensional, malah saya amat menyenanginya. Hati kecil saya tersentuh apabila membaca Senjakala - Baharudin Kahar, Seorang Tua di Kaki Gunung - Azizi Haji Abdullah, cerpen-cerpen Razak Mamat ( allahyarham ) dan penulis lain ( Zaen, 1999:97 ) Pokoknya, saya telah memilih jalan itu, tambahnya. Apa yang dipegangnya ialah kata-kata penulis besar Jerman, Hermen Hesse ( hadiah Nobel 1946 ) Anda harus memilih bidang dunia pop kalau mahu popular. Dan Zaen memilah dunia halusinasinya sendiri untuk ke arah itu suatu ketika nanti.
Cerpen terakhir dalam kumpulan ini ialah Musim Yuda. Kalau susun pertamanya dibuka dengan kisah impian pelukis Warna Katarsis, sebagai prolog, sebagai epilognya Musim Yuda mengisahkan tentang perang. Memang perang adalah hakikat kehidupan manusia. Perang dalam bentuk fizikal mungkin saja tentang perang ketumbukan troop tetapi perang yang logis ialah berlawan dengan diri sendiri. Hawa nafsu. Sebagai penulis peperangan dengan hawa nafsu adalah peperangan yang paling sulit. Namun dalam Musim Yuda, Zaen menuliskan, Perang telah selesai! Satu frasa yang total. Diuruti dengan gambaran lebih menyenangkan, tiada lagi kedengaran gema tempik sorak, hanya deru angin yang datang dari arah perbukitan barat yang sesekali menerbangkan pasir, mencipta dengung yang saling berselisih. Frasa intro ini menyenangkan sekali. Memasuki frasa kedua, Zaen menuliskan, hanyir darah menyebak di mana-mana. Mahing amat. Di lembah yang terkapit di antara dua banjaran perbukitan itulah para mayat tidur, tidur untuk bakal mendepangi alam lain yang lebih panjang dan lestari. Ya, mulai saat ini pengarang sudah mula membuka pekong persoalan. Walaupun perang sudah tamat, ia bukan titik nol. Kelihatannya begitu, tetapi para mayat sedang memasuki dunia lain yang lebih panjang dan lestari. Ya, itulah jurusnya, perang yang satu lagi itu. Apakah sebenarnya dunia perang yang dimahukan oleh Zaen? Tentu tidak sama sekali. Zaen sedang menuju ke dunia bayang yang penuh raksasa di dalamnya.
Dalam sebuah karya seni, pertentangan adalah salah satu cara untuk mendapatkan kepelbagaian yang paling sederhana tetapi sangat menyolok untuk memenuhi syarat keindahan karya seni itu. Dengan memberi elinia pertama musim yuda ( musim perang ) khalayak telah diselimuti gerah perang. Namun sebaliknya ia adalah jalan susur perang yang satu lagi. Pertentangan ini yang akan dibawa oleh Zaen Kasturi melalui cerpennya. Hawa dingin yang jatuh dari perbukitan barat, menjalar ke daerah lembah itu. Sepi dan dingin yang bersatu itu membuat para mayat semakin bernyali berarak, mengayun langkah dengan lebih sigap, tegap dan penuh yakin. Masing-masing tunduk memejamkan mata, menghirup sungguh-sungguh kisuran angin dan hawa malam yang jatuh dari perbukitan barat ( hal. 169 )
Ini adalah dunia mayat yang dipandang dari sudut pandangan kosong iaitu pengarang sehabis nihil mahu membebaskan dirinya. Lihatlah pengarang melukiskan, Tanpa tiupan nafiri mahupun paluan gendang, para mayat itu masih berarak, terlalu erat pautan tangan masing-masing, seolah tidak ingin terputus lagi. Urat-urat di lengan tangan timbul dengan simpulan yang kejap, di pelipatan tangan timbul daging-daging yang benar-benar menampilkan kejantanan.
Obor-obor dinyalakan di sekeliling tapak perarakan itu. Sinar purnama dan cahaya-cahaya obor saling menantang, memercikan sinar magenta yang kemudian jatuh ke tanah.
Inilah world-wiev Zaen Kasturi dalam mendepani karyanya. Orentalis beranggapan bahawa sastra adalah dokumen kebudayaan yang mengandungi data dan ilmu di dalamnya. Dan Zaen telah menyamakan karya sastra dengan buku ilmu yang lain yang penuh sejarah, seperti " apa-apa yang dilakukan oleh Alcibiades atau yang dideritainya " ( Beardsley 1973:21 ) Saya melihat jalur lain yang telah digarap oleh Zaen memisahkan bentuk pengucapan yang terdahulu. Seterusnya mendokong dunia holistik yang mencari tafsiran makna dan bukannya membuang di bawah lipatan tikar zaman.
* Biodata Penulis Zaen Kasturi
Anak kelahiran Kampung Ladang, Kuala Sungai Baru, Melaka tanggal 16 Oktober 1964 ini mempunyai nama asalnya Zainal bin Palit. Dengan nama penanya Zaen Kasturi meneruskan pengajiannya di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dengan Sarjana Muda Sastera dalam bidang Penulisan Kreatif dan Deskriptif. Kemudian ke peringkat Sarjana dalam bidang Budaya dan Bahasa di Asia Tenggara dan Kepulauan di University of London, England. Zaen pernah bertugas sebagai editor majalah Dewan Sastera sekitar tahun1990-an. Kini beliau sebagai Ketua Bahagian Rangkaian Strategik di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia. Karyanya yang telah diterbitkan ialah Yuda ( 1992 ) Katarsis ( 1993 ) Angin Belantara ( 1996 ) Rapsodi ( 1998 ) Taman Uzlah ( 2005 ) dan Iga ( 2005 ) Banyak karyanya terdiri daripada cerpen dan puisi memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia, Hadiah Karya Sastera Utusan-Public Bank dan lain-lain. Beliau mendapat S.E.A. Write Award pada 2011 di Bangkok, Thailand.
Daftar Pustaka
Lufti Abas, Kritikan Sastra Sebagai Karya Seni, Kuala Lumpur, 1995
Zaen Kasturi, Yang Sukar Itu Nikmat, Kuala Lumpur, 1999
A. Rahim Abdullah, Menyelami Nada Rapsodi Zaen Kasturi, Kuala Lumpur, 2011
Zaen Kasturi, Yuda, Kuala Lumpur. 1992
No comments:
Post a Comment