Thursday, June 16, 2011

HAMKA - LAMA DULU MENULIS ROMAN ISLAMIK

Kebanjiran roman Islamik yang dimulai oleh Ayat-Ayat Cinta oleh Habiburrahman El Shirazy ( Penerbit Republika, Jakarta, Cetakan Pertama, Desember 2004 ) seakan memberi kesan ribut terhadap penghasilan  roman-roman seumpama ini. Dobrakan terakhir dilakukan oleh  Abidah El Khalieqy melalui Perempuan Berkalung Sorban ( Arti Bumi Intaran, Yogyakarta, Cetakan Pertama Juli 2008 ) menampakkan ribut itu belum kelihatan selesai. Kenapakah roman Islamik ini begitu menerjah masuk ke dalam kesusasteraan Indonesia dan Malaysia dengan kuat sekali sedangkan lama dulu ia telah diterokai dengan kukuh oleh tokoh-tokoh seniman Islam yang zuhud dan tawaduk antaranya Haji Abdul Malik Karim Amrullah ( Hamka ) Hamka selain menghasilkan roman-roman terkenalnya Di Bawah Lindungan Kaabah ( 1936 ) Tenggelamnya Kapal van der Wijck ( 1938 ) Kerana Fitnah ( 1938 ) Merantau ke Deli ( 1939 ) Tuan Direktor ( 1939 ) dan Di Dalam Lembah Kehidupan ( 1940 ) beliau juga menulis 5 jilid Tafsir al-Azhar. Walau pun dikatakan bahawa  Hamka bukanlah seorang pengarang yang berketrampilan kerana dari segi psikologi roman-romannya lemah, terlalu bersifat moralis, plotnya bersifat sentimental, kalau pun tidak terlalu melodrama. Beliau juga ditolak sarjana pretensinya sebagai pelopor kesusasteraan Islam moden Indonesia oleh golongan anti Islam tetapi juga golongan Islam sesudah perang. Sebagai sebuah karya yang tidak mementingkan semata-mata teknik dan suapan sastera berjurusan barat, ia sangat berpotensi sebagai penyuluh roman Islam yang unggul.

Hamka harus diperkatakan secara kusus sebagai penulis Indonesia paling banyak menulis hal-hal keagamaan. Anak kepada Dr Abdul Karim Amurullah ( dikenali sebagai Haji Rasul ) seorang pemimpin pembaharuan Islam yang pulang dari Makkah pada tahun 1906 dari Minangkabau. Dilahirkan pada tanggal 17 Februari 1908 di Kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia, Hamka mendapat pendidikan rendahnya di Sekolah Dasar Meninjau hingga kelas dua. Ketika usianya 10 tahun, ayahnya mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di sinilah Hamka mempejalari bahasa Arab dan pelajaran agama. Beliau juga mendapat asuhan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rashid, Sutan Mansur, R.M. Surjoparanoto dan Ki Bagus Hadikusumo. Minatnya pada bidang filsafat, kesusasteraan, sejarah, sosiologi dan politik menyebabkan beliau banyak membaca karya-karya besar pujangga Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas Al-Aqqad, Mustafa Luthfi al-Manfaluti dan Hussein Haikal  selain karya barat seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx, Perre Loti dan lain-lain. Sering mengadakan perbincangan dengan tokoh-tokoh Islamik membolehkan beliau menjadi pemidato yang disegani.

Pada tahun 1927, bermulalah kerjaya Hamka sebagai guru agama di Perkebunan Tebing Tinggi, Medan. Pada tahun 1929, menjadi guru agama di Padang Panjang. Saat-saat rumit ketika pendudukan Jepang, beliau dan ayahnya menunjukkan pendirian kerasnya terhadap penyembahan maharaja Jepang yang dipaksakan terhadap muslimin  Indonesia kerana merupakan perbuatan syirik kepada Tuhan. Sebenarnya Hamka sejak usia mudanya juga menjadi korban masyarakat tradisional Minangkabau menyebabkan beliau keluar meninggalkan Minangkabau seawal usianya 16 tahun. Beliau belajar agama di Jawa, Makkah dan beberapa negara Timur Tengah sebelum kembali ke Indonesia dan menetap sebentar di Deli ( Sumatera Barat ) sebagai guru agama. Beliau kemudian pergi ke Makassar hanya beberapa bulan dan kemudian kembali ke Medan menjadi editor sebuah majalah mingguan Islamik dan bermulalah keriernya sebagai seorang penulis dan pengarang. Dimulai dengan cerita-cerita pendek, roman bersiri dan dalam  masa 5 tahun sahaja ( 1935-1940 ) beliau berjaya menghasilkan 5 buah roman semuanya.

Pada tahun 1957, beliau dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhamadiah, Padang Panjang hingga tahun 1958. Seterusnya beliau dilantik sebagai Rektor Perguruan Tinggi Islam Jakarta dan profesor Universitas Mustapo, Jakarta. Sebelumnya, dari tahun 1951 hingga tahun 1960 beliau dilantik sebagai Jabatan Tinggi Agama yang kemudiannya meletakkan jabatan kerana menumpukan kegiatan politiknya di majlis Syura Muslim Indonesia ( Masyumi )

Beliau sangat menggemari tulisan Mustaffa Lutfhi al-Manfaluthi ( 1876-1943 ) yang mencipta karya bersadorkan buku-buku Perancis, Paul et Virginie dan Cyrano de Bergerac yang mempengaruhi kuat penghasilan Tenggelamnya Kapal van der Wijck yang mempunyai banyak persamaan watak ( iaitu Magdalena dengan Madjulin ) dalam Sourles Tilleuls karya Alphonse Karr ( yang diterjemahkan oleh Manfaluthi ) Pada tahun 1962, setelah Tenggelamnya Kapal van der Wijck dicetak ulang sebanyak 7 kali, seorang pengkritik Abdullah S.P. menyatakan bahawa karya itu merupakan sebuah karya ciplak yang sangat ketara. Setelah hangat diperbincangkan ternyata bahawa Tenggelamnya Kapal van der Wijck hanya merupakan pengaruh yang sarat dari pembacaan sadoran Manfaluthi. Yang jelas ialah Hamka mengemukakan latar tempatan iaitu Minangkabau yang sedikit sebanyak adalah autobiografinya sendiri. Hamka mempunyai darah Minangkabau di sebelah ibunya tetapi bapanya adalah orang Makassar. Oleh yang demikian, masyarakat Minangkabau mengganggapnya anak pisang ( orang asing ) yang menyebabkan sedikit frustasi dialami oleh Hamka kerana terpaksa meninggalkan gadis pilihannya orang Minangkabau dan menolak dirinya sebahagian orang Minangkabau. Frustasi ini memungkinkan karya selanjutnya Kerana Fitnah dilahirkan. Cerita sentimental mengenai seorang wanita Minangkabau yang menjadi korban fitnah, iaitu nasib yang tidak jarang dialami menimpa seorang  anggota keluarga yang tidak diingini. Dia terpaksa meninggalkan rumah dan negerinya akibat fitnah keluarga sebelah suaminya yang hendak menghalaunya, dan sampailah di Jawa, tempat beliau menjalani kehidupan yang amat malang. Sebuah sikap yang mandiri terhadap dirinya sendiri.

Tentang masyarakat Minangkabau terus ditulisnya dalam Merantau ke Deli. Roman ini menekankan masalah ekonomi yang diakibatkan oleh masyarakat Minangkabau sendiri. Leman, seorang pemuda Minang, merupakan pedagang yang berjaya. Pemuda itu berkawin dengan perempuan Jawa, Poniem. Isteri kedua Leman seorang Minang yang egois. Ini konklusi yang ditonjolkan oleh Hamka atas penolakannya sebagai orang Minang ( anak pisang iaitu orang asing ) Dalam Tuan Direktor pula, Hamka membicarakan perbedaan yang kemudian meluas kepada pertentangan antara pedagang dengan  Pak Yasin, seorang ulama yang sederhana dan alim. Hal yang diutarakan ialah konsep merdeka dalam pengertian juzuk dan batin. Di akhir cerita dimenangkan Pak Yasin yang bukan saja menang moral tetapi juga memang ekonomi yang diurus dengan kendala Islamiknya.

Dalam satu catatan pendahuluannya pada cetakan ke 4 roman Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Hamka menulis, Di dalam usia 31 tahun ( 1938 ) masa darah muda masih cepat mengalir dalam diri dan khayal serta sentimen masih memenuhi jiwa, di waktu itulah ' ilham ' Tenggelamnya Kapal van der Wijck ini mulai kususun dan dimuat berturut-turut dalam majalah yang kupimpin Pedoman Masyarakat. Setelah itu dia diterbitkan menjadi buku oleh Saudara M. Syarkawi ( cetakan ke 2 ) seorang pemuda yang sangat giat menerbitkan buku-buku yang berharga. Belum berapa lama tersiar, dia pun habis. Banyak pemuda yang berkata: " Seakan-akan Tuan menceritakan nasibku sendiri. " Ada pula yang berkata, "  Barangkali Tuan sendiri yang Tuan ceritakan. "

Sesungguhnya bagi seorang golongan agama, mengarang sebuah buku roman, adalah menyalahi kebiasaan yang umum dan lazim pada waktu itu. Dari kalangan agama, pada mulanya, saya mendapat tantangan keras. Tetapi setelah sepuluh tahun berlalu, dengan sendirinya heninglah serangan dan tantangan itu, dan kian lama kian mengertilah orang apa perlunya kesenian dan keindahan dalam hidup manusia.

Ada pula yang berkata, " Bilakah lagi Tuan akan membuat cerita sebagai Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck dan yang lain-lain itu? " Bagaimanakah saya akan menjawab pertanyaan itu, kerana cita-cita masih tetap besar dan tinggi sedang usia telah bertambah dan zaman telah berubah. Khayal dan sentimen zaman muda kian sehari kian terdesak oleh pengalaman-pengalaman, terutama di dalam, saring-tapisan " Revolusi. "  Moga-moga kiranya hasil tangan angkatan kami ini dilanjutkan oleh angkatan yang di belakang dengan lebih berkembang dan maju. Kerana dengan terbukanya " gapura kemerdekaan " segala kesempatan pun terbukalah!

Nah!  Hamka telah merintis roman Islamik yang identik terhadap masyarakat tempatan dan pergolakkan agamanya dan berharap akan diteruskan oleh generasi di belakangnya dengan penuh istiqomah.  Apakah jurus ini juga yang sedang dilakukan oleh novelis Islamik masa kini. Pembaca umumnya akan memberi reaksi mereka terhadap apa yang diuar-uarkan sebagai roman atau novel Islamik di Indonesia mahu pun Malaysia.


Daftar Perpustakaan

________   Ensaikopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. DBP, Kuala Lumpur, 1999

A. Teeuw.   Sastera Baharu Indonesia. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1979

Hamka.    Tenggelamnya Kapal van der Wijck. PT Bulan Bintang, Jakarta, cetakan ke 26, 2002

No comments:

Post a Comment